KEADILAN DAILY
JOHOR BAHRU: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menegaskan KEADILAN sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang dan akan memilih calon yang benar-benar berwibawa.
“Jentera pilihan raya telah diperkemas; latihan dan persiapan rapi terus dijalankan.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa calon yang bakal ditonjolkan dirundingkan terlebih dulu dengan cabang dan akar umbi, terdiri daripada mereka yang layak dan diyakini punya prinsip perjuangan dan tidak mungkin dituai dengan jutaan ringgit sogokan musuh,” kata Wan Azizah.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya dengan tema ‘Demi Rakyat, Melakar Masa Depan Malaysia’, pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN kelapan 2011 di Pulai Spring Resorts, Johor Bahru.
Dalam ucapan sama, Wan Azizah turut meniup semangat juang menghadapi pilihan raya umum akan datang yang mungkin berlangsung pada bila-bila masa sahaja.
Menurutnya, cabaran terbesar KEADILAN iaitu untuk memenangi hati rakyat perlu terus didepani walaupun berdepan kekangan seperti pilihan raya yang tidak bebas mahu pun adil.
“Sekiranya kita dapat menembus malah menumpas kubu Umno-BN dengan segala kekurangan dan keterbatasan yang ada kita pasti berupaya mencatat keputusan cemerlang sehingga ke Putrajaya, Insya-Allah,” kata Wan Azizah.
KEADILAN juga, kata Wan Azizah, perlu membebaskan Malaysia dari ‘penguasa elit’ yang terus membiarkan rakyat menderita dan menafikan hak mereka mendapat terbaik dalam kehidupan.
“Malaysia negara berpotensi besar. Rakyatnya yang bersaudara gigih berusaha. Negara dibina atas landasan agama dan akar budaya.
“Namun, cita-cita kita direncat oleh elit kekuasaan. Rasuah dan ketamakan membarah. Rakyat dibiarkan menderita dengan kepayahan hidup.
“Setiap daripada kita berhak mendapat yang terbaik. Pendidikan berkualiti, kebajikan terbela, peluang saksama dan pentadbiran beramanah menanti kita,” kata Wan Azizah.
Turut serta dalam majlis perasmian kongres tersebut ialah Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dif kehormat dari Kesatuan Eropah, Jepun, Filipina, Palastin dan pemimpin-pemimpin parti politik dari Indonesia.
Majlis perasmian Kongres Nasional Keadilan ke-8 ini dihadiri 2,534 perwakilan selain 1055 pemerhati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan