Mohd Firdaus |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) mengadakan lawatan kerja seminggu ke negeri-negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Lawatan yang berteraskan muhibbah dan semangat setia kawan itu akan mengadakan perbincangan dua hala mengenai tawaran Pakatan Rakyat, pilihan raya dan kerjasama ekonomi. Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan (gambar) berkata, PAS Sabah sedang berusaha membawa keluar rakyat di negeri itu dari kepompong kekuasaan dan kerakusan pemimpin di bawah kerajaan Barisan Nasional. “Kita mengadakan lawatan ke negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat ini, bukan sahaja akan mengambil manfaat keseluruhan peluang malah akan membincangkan juga mengenai apa tawaran kita selaku parti dalam komponen Pakatan Rakyat kepada rakyat Sabah,” jelasnya. Menurutnya, generasi muda pada hari ini sudah mula sedar dengan suasana perubahan yang turut dirasai oleh rakyat Sabah yang berada di Semenanjung. “Kita melihat ini merupakan mood perubahan dalam diri rakyat, terutama golongan muda. “Mereka tidak sekadar melihat dan menonton apa yang dihidangkan... tapi apa yang mereka lakukan ialah mencari sebanyak mana sumber isu untuk dijadikan pelengkap kepada sesuatu dakwaan,” ujarnya. Kata Zulfikar, lawatan itu juga secara langsung akan membincangkan persediaan menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang akan berlaku pada bila-bila masa. “Kesediaan pilihanraya pada tahun ini merupakan sesuatu yang amat mencabar. “Kita akan menggunakan seluruh medium penyebaran yang ada untuk menyebarkan apa sahaja maklumat yang benar mengenai Sabah dan Malaysia kepada rakyat,” katanya. Katanya, beliau juga tidak menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa pilihanraya pada kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya umum. “Pemuda akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan dengan perlawanan satu lawan satu. “Kita juga percaya, mereka tidak senang dengan kerja kita. Tapi, apa salahnya kalau kita bekerja dan bersaing secara sihat,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar. Lawatan yang disertai Ketua Pemuda, Lahirul Latigu bersama kepimpinan PAS Sabah itu bermula di Selangor pada 26 Nov lalu hingga 29 Nov akan turut berkunjung ke Kedah (30 Nov – 1 Dis) dan berakhir di Kelantan (2 Dis – 3 Dis). |
Isnin, 28 November 2011
PRU13: Generasi muda Sabah turut rasai perubahan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan