Andrew Ong
Kerajaan perlu membuat pindaan kepada peraturan-peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum badan itu boleh melaksanakan cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini, kata timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Ketika dihubungi hari ini Wan Ahmad (kiri) bersetuju bahawa beberapa cadangan yang dibentangkan dalam laporan awal PSC boleh dilaksanakan tanpa keperluan meminda undang-undang atau menggubal akta yang baru.
Walau bagaimanapun, katanya, pindaan kecil kepada peraturan-peraturan SPR perlu dilakukan terlebih dahulu oleh Jabatan Peguam Negara dan diluluskan oleh kerajaan.
Langkah seterusnya, menurut Wan Ahmad adalah membentangkan peraturan-peraturan berkenaan di Parlimen supaya ia diwartakan. Hanya selepas itu, SPR boleh melaksanakan cadangan berkenaan.
"Ia tidak akan mengambil masa yang lama, tetapi proses ini perlu dilakukan dengan betul," katanya.
Tak dapat ulas lanjut
Laporan awal atau interim PSC dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini yang membuat beberapa cadangan.
Menurut ahli jawatankuasa PSC Anthony Loke, kebanyakan cadangan itu boleh dilaksanakan oleh SPR tanpa memerlukan sebarang pindaan undang-undang.
Bagaimanapun kata Wan Ahmad, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai setiap cadangan berkenaan kerana beliau belum mengkaji dokumen tersebut tetapi mengakui telah diberi taklimat tentang kandungan itu oleh pegawai-pegawainya.
Beliau berkata SPR mengalu-alukan laporan awal oleh PSC itu dan melihat cadangan yang dibuat dengan "sangat positif".
Mengenai tindakan yang akan diambil oleh SPR, Wan Ahmad berkata suruhanjaya itu akan menunggu Dewan Rakyat untuk membahaskan laporan pertama tersebut.
Katanya, beberapa cadangan dalam laporan itu adalah hasil rundingan bersama antara PSC dengan SPR.
"Ada di antaranya (cadangan itu) dikemukakan oleh ahli-ahli SPR. Inilah apa yang mereka rasa perlu dilakukan," katanya.
Pegawai-pegawai SPR adalah antara saksi pertama yang dipanggil oleh PSC, yang setakat ini telah juga mengadakan dua pusingan sesi pendengaran awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan