Sabtu, 26 November 2011

Hudud: Alfred Jabu didesak tarik balik kenyataan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sarawak kesal dengan sikap Alfred Jabu yang tidak sensitif terhadap umat Islam dengan mengaitkan hudud dengan ‘politik kotor’ dan ‘keji’.

Ketuanya, Mohammad Arifiazul menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Alfred selaku Timbalan Ketua Menteri ketika persidangan Dun Sarawak semalam.

Katanya, Alfred Jabu menggunakan istilah ‘hudud politik’ yang secara terang-terangan menghina dan mempermainkan hudud.

Menurutnya, Alfred Jabu menuduh Pakatan Rakyat mengamalkan politik kotor dan aggresif, sedangkan pada waktu yang sama, menghina dan mempermainkan hukum hudud yang termaktub dalam Al-Quran dan sebahagian daripada perundangan Islam.

“Secara nyata, Alfred Jabulah yang mengamalkan politik kotor dan tidak sensitif di Sarawak, bukannya Pakatan Rakyat.

“Alfred menggambarkan Pakatan Rakyat datang ke Sarawak, membawa budaya politik pelik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, Alfred lupa bahawa Pakatan Rakyat Sarawak merupakan terdiri daripada rakyat Sarawak yang bosan dengan pemerintahan BN selama ini, dan bukannya orang luar.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS Sarawak menyarankan Alfred Jabu supaya berhenti memberi kenyataan mengenai hudud, kerana beliau tidak mempunyai maklumat dan penerangan yang cukup mendalam mengenai hukum hudud.

Beliau menambah, Pemuda PAS Sarawak menyarankan Alfred supaya lebih sensitif terhadap isu-isu keagamaan seperti itu dan Pemuda PAS Sarawak mengingatkan rakyat Sarawak tidak mungkin dapat menerima pemimpin yang tidak sensitif seperti beliau.

Katanya, Pemuda PAS Sarawak kesal dengan Adun-Adun PBB yang beragama Islam terutama Ketua Menteri sendiri yang tidak bangkit menegur kenyataan bodoh Alfred Jabu ini.

Tambahnya lagi, Adun-Adun PBB yang beragama Islam sepatutnya membela agama Islam dan menegur Alfred yang tidak sensitif terhadap agama Islam.

“Pemuda Sarawak menyeru Adun-Adun PBB yang penakut ini, untuk memberi ruang kepada PAS jikalau tidak mampu membela agama sendiri dalam dewan undangan negeri,” katanya.

Justeru, tegasnya Pemuda PAS Sarawak menuntut Alfred Jabu membuat kenyataan terbuka memohon maaf kepada semua umat Islam serta menarik balik ucapan itu.

Tiada ulasan: