Oleh: Masdar Wahid
JOHOR BAHRU : Buku Jingga dicadang dipatenkan sebagai harta intelek milik Pakatan Rakyat, kata perwakilan dari Kelantan, Muhamad Hisomuddin pada Kongres Nasional KEADILAN ke lapan.
Ini kerana beberapa dasar dalam Buku itu sedikit demi sedikit mula ditiru pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun Presiden Umno itu enggan mengakuinya.
“Paten ini penting kerana jika idea dan dasar dalam Buku Jingga dicuri lagi oleh pentadbiran Datuk Najib, kita boleh saman mereka di mahkamah,” katanya pada perbahasan menyokong dasar ucapan Presiden dalam kongres hari ini.
Beliau yang merupakan pembahas terakhir turut menyelar tindakan Umno mempolitikan isu penjawat awam.
“Umno mempolitikan kononnya penjawat awam akan dikurang jika kita perintah.
“Suka saya ingatkan bahawa sejak Pakatan Rakyat perintah di empat negeri tiada seorang pun penjawat awam dikurangkan,” katanya yang disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Beliau menegaskan, penjawat awam bukan sahaja diperjuangkan sebagaimana yang tercatat dalam Buku Jingga malah dibuktikan di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.
Sebagai contoh katanya, Kerajaan Selangor bermula Januari depan akan melaksana gaji minima dengan permulaan pada syarikat kerajaan negeri sebanyak RM1,500 sebulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan