Ahad, 27 November 2011

Bagaimana kita jadi begini?

Oleh Muhammad Zir


Dasar ekonomi kita dibentuk melalui dasar politik negara. Dan politik negara ini ditentukan pula oleh kuasa politik yang memerintah. Kuasa politik parti yang memerintah ini mempunyai perjuangannya, objektifnya dan kepentingannya.

Matlamat dan perjuangan parti yang memerintah kala ini dikatakan ingin memajukan negara dan mengangkat ekonomi Bumiputera khususnya kaum Melayu yang merupakan majoriti penduduk menerusi tindakan afirmatif.

Dahulunya dilancarkan dengan nama Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970 dan selepas tamat tempohnya diganti dengan Dasar Pembangunan Nasional pada 1991, dan diteruskan melalui Agenda Melayu, dan kini dijenamakan semula sebagai Program Transformasi Ekonomi atau Economic Transformation Program (ETP) di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Dasar ini tidak dibuat melalui pungutan suara rakyat atau referendum. Ia adalah keputusan parti yang memerintah. Itu jelas sekali apabila penubuhan agensi-agensi kerajaan yang mengurus sumber-sumber ekonomi ini diputuskan oleh UMNO sebagai parti yang memerintah.

Isu utama dalam dasar parti ini ialah pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera. Sejak DEB diperkenalkan dan berterusan ke masa ini, isu tersebut masih diperkatakan.

Bagaimana sumber ekonomi negara diurus

Kerajaan yang memerintah telah mewujudakan kementerian-kementerian yang berkaitan dengan hal ehwal ekonomi dan perniagaan. Bagi sumber-sumber penting seperti petroleum, ia dikuasai oleh Petronas di mana Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mempunyai kuasa dan akses secara langsung kepada akaun Petronas.

Petronas merupakan ‘syarikat’ paling besar dan paling kaya di Malaysia. Majalah ekonomi Fortune menyenaraikan Petronas di tangga ke-95 syarikat terbesar di dunia. Malah Petronas menduduki tangga ke-13 sebagai syarikat yang membawa untung terbesar di dunia dengan anggaran pendapatan tahunan sekitar USD80 billion pada 2010.

Dengan kehebatan Petronas yang sememangnya milik pemerintah, kita masih bingung mengapa, dasar afirmatif DEB untuk membela nasib kaum Bumiputera khususnya Melayu, masih menjadi persoalan besar.

Dari satu sudut, media arus perdana kawalan UMNO-Barisan Nasional sering mewarwarkan kejayaan, kehebatan dan kemakmuran ekonomi negara tetapi melalui media massa yang sama, para pemimpin UMNO pula sering menyatakan matlamat DEB masih belum berjaya dicapai.

Bagaimana instrumen (institusi) berfungsi

Penubuhan agensi-agensi di bawah seliaan kementerian-kementerian yang penting seperti ekonomi, kewangan dan perniagaan cukup banyak. Dan kita akan dapat melihat dengan jelas satu corak di mana dasar-dasar ekonomi kerajaan ini telah menjadi sangat kompleks untuk dilaksanakan di bawah agensi-agensi kerajaan tersebut.

Paling ketara ialah tahap birokrasi semakin bertambah hingga menyebabkan dasar birokrasi pula terpaksa dibuat. Kesannya, pencapaian terhadap perlaksanaan dasar menjadi lambat dan hasilnya pula kurang berkesan.

Lebih parah, percambahan birokrasi akan melahirkan karenah birokrasi (red tape) yang tentunya membuka jalan untuk rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan salah urus. Tiap-tiap tahun Laporan Ketua Aduit Negara dengan jelas memperincikan kemelut yang telah membazirkan beratus billion ringgit wang rakyat.

Bermacam-macam agensi ditubuhkan. Itu tidak termasuk jawatankuasa dan jawatankuasa kecil. Tidak mustahil ramai antara kita termasuk ahli-ahli UMNO sendiri yang tidak tahu kewujudan agensi-agensi tersebut.

Contohnya, jika kita lihat Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, kita dapati wujud tujuh agensi yang menjadi pengurus Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), INSTITUT KEMAJUAN DESA (INFRA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Ini baru sebuah kementerian sahaja. Kita belum lagi melihat kementerian-kementerian lain yang mana wujud berpuluh-puluh lagi agensi di bawah setiap satunya.

Jika kita masih ingat bagaimana kerajaan mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dalam masa yang sama wujud juga Unit perancang Ekonomi Negara (UPE), termasuk TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan pelbagai lagi badan di bawah program yang juga pelbagai.

Melihat kepada kewujudan agensi-agensi ini, sudah tentu ia juga berkaitan dengan kos operasi dan program-programnya. Bagimana pula dengan laporan Ketua Audit Negara yang lalu, adakah perjalanan operasi dan urusan kewangan agensi-agensi ini sudah diperbetulkan mengikut saranan Jabatan Audit Negara?

Akhirnya untuk apa?

Kita tidak menolak keperluan mewujudkan agens-agensi ini, namun adakah perlu diwujudkan terlalu banyak sehingga kos operasi dan pengurusan sentiasa melambung tinggi berbanding dengan kos untuk pelaksanaan projek dan program kepada rakyat?

Sebaiknya kementerian yang ada hanya perlu diperkemas dan dipertingkatkan keupayaannya. Baik dari segi kualiti perkhidmatan, sumber manusia dan jaringan operasi. Malah, ada juga sebilangan unit atau agensi yang boleh diletak dan diselia di bawah kerajaan negeri.

Kerajaan yang bertunjangkan UMNO ini dilihat hanya tahu menambah agensi dan jabatan dengan harapan ia akan melaksanakan agenda penting untuk rakyat. Seolah-olah itu sahaja jalan keluarnya.

Malangnya, agensi dan jabatan yang ditambah hari demi hari itu juga melambatkan dan mengekang proses pelaksanaan dasar-dasar kerajaan, khususnya yang ditujukan kepada kaum Bumiputera. Ia menjadi lambat dan mengekang kerana kebanyakan mereka terperangkap dengan paper work dan birokrasi.

Mangsanya tetap Bumiputera sendiri. Rakyat semakin lama semakin menjauh, pengurus yang diamanahkan untuk mengurus ekonomi negara terus tenggelam dalam kekalutan ciptaan mereka sendiri.

Malah, menyedihkan sekali, apabila dicadangkan supaya reformasi pentadbiran awam dilaksanakan, ada dikalangan pemimpin UMNO serta para pecacai mereka telah menuduh pihak yang memberi cadangan sebagai rasis dan anti-Melayu.

Justeru, rakyat khususnya kaum Bumiputera dan orang Melayu bukan sahaja terpaksa menelan propaganda perkauman tetapi mereka juga masih menunggu buah-buah yang tidak gugur kerana usaha-usaha pembangunan dan kemajuan yang dijanjikan kerajaan belum juga sampai ke kampung dan pekan mereka. – Roketkini.com

Tiada ulasan: