Sabtu, 26 November 2011

SUHAKAM mengalu-alukan pindaan AUKU

Hasmy Agam


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) mengalu-alukan langkah untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang akan membenarkan pelajar universiti berumur 21 dan ke atas ruang untuk menggunakan hak perlembagaan mereka untuk bebas bersuara dan membentuk persatuan. Hak-hak ini dijamin di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan dan termaktub dalam Perkara 19-21 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Kesedaran hak sivil dan politik di kalangan generasi muda perlu dilihat secara positif dan disokong sepenuhnya kerana pelajar universiti merupakan pemimpin masa depan negara. Pendidikan formal dan latihan yang diterima di universiti hendaklah ditambah dan dilengkapkan dengan pengalaman dan pengajaran yang boleh diperolehi di luar kampus bagi membolehkan mereka menjadi pemimpin masyarakat yang berjaya. Sekatan yang tidak munasabah terhadap hak asasi mereka untuk menyuarakan pendapat tidak sepatutnya dikenakan.

Suruhanjaya menyambut baik komitmen Perdana Menteri untuk mengubah negara menjadi sebuah negara yang moden dan progresif. Langkah ini perlu dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam membawa negara ke satu tahap di atas dari segi ekonomi dan politik.

Suruhanjaya ambil maklum dan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang telah mengisytiharkan seksyen 15(5)(a) AUKU sebagai tidak mengikut perlembagaan, atas dasar ianya melanggar kebebasan bersuara. Sejajar dengan aspirasi Perdana Menteri untuk negara, Suruhanjaya menyeru Kerajaan untuk menimbangkan semula hasrat untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan meneruskan usaha untuk mendukung dan melindungi hak rakyat

*Kenyataan media oleh Hasmy Agam (gambar kanan) selaku Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Tiada ulasan: