Sabtu, 26 November 2011

Udin Anak Yassin Tidak Perlu Berdolak Dalih

MSO


KALAU tidak mahu beri katakan tidak, jangan pula berdolak dalih. Itulah pesanan atau pun kata dua yang boleh diberikan kepada Udin anak Yassin berhubung royaliti petroleum untuk Kelantan yang dinafikan itu. Kata Udin anak Yassin isu royaliti petroleum menjadi 'kekok' sebab ianya ada bersangkutan dengan perundangan dan perlembagaan.

Apa susahnya, bukankah di dalam perundangan jelas mengenai hak rakyat Kelantan itu. Kalau pemberian royaliti untuk negeri-negeri minyak lain seperti Terengganu, Sabah, Sarawak dan lain-lain boleh dilaksanakan dengan baik kenapa tidak dengan Kelantan. Bukankah pemberian royaliti 5% kepada negeri-negeri itu juga menggunakan akta dan perundangan sama.

Masalah perkara itu kini dalam proses penyelesaian mahkamah ia boleh diselesaikan tidak sampai sekerat hari. Mahkamah boleh memanggil kedua-dua pihak dan selesaikan atas kehendak kerajaan. Penarikan balik atau pengguguran kes petroleum yang dibawa oleh kerajaan Kelantan tidak seperti kes jenayah yang boleh dimaafkan. Kes itu adalah untuk kepentingan bersama.

Soal Pas kena duduk sekali dengan Umno baru isu dapat diselesaikan, itu jelas berunsur politik berat sebelah dan dangkal. Tidak seharusnya isu royaliti minyak itu diselesaikan dengan cagaran politik di mana Pas perlu duduk bersama dengan Umno.

Memang hakikatnya begitu, isu royaliti itu akan jadi lebih mudah kalau Pas dan Umno duduk sekali. Tetapi tidak ada peruntukan atau pun pernyataan dalam akta petroleum menyebut demikian; bahawa royaliti akan diberikan kepada rakyat Kelantan sekiranya Umno dan Pas duduk sekali. Umno amnya dan Udin anak Yassin khasnya perlu bersikap profesional.

Jadi Udin anak Yassin tidak usahlah mengeliru rakyat Kelantan dengan kata-kata berbelit dan berputar begitu. Kalau tidak mahu berikan, katakan saja dan jangan berdolak dalih. Biar terang! Buruk sangat kita sebagai seorang timbalan perdana menteri untuk berdolak dalik. Tentang sorong tarik, tarik sorot ini serahkan sahaja kepada Ha(ji) Najib Razak.

Makin banyak Udin anak Yassin dan pemimpin Umno bercakap fasal royaliti minyak makin kusut masai dan menyerlahkan kebejatan parti berkenaan. Dunia semua sudah tahu apa yang berlaku di Kelantan sekarang ini adalah diskriminasi kejam kerajaan UBN bukan saja hari ini tetapi sejak di dulu lagi, sejak Umno di dalam perut sudah kejam dan zalim kepada Pas. Pemimpin yang bercakap untuk bangsa dan negara sepatutnya tidak ikut sama bersubahat melakukan tindakan politik terkutuk.

Pada saya tindakan atau idea menghukum rakyat Kelantan menafikan hak mereka kerana mereka tidak memberi sokongan padu kepada Umno bukan cara dan kaedah terbaik. Cara itu juga Umno tidak menghormati kepada sebahagian rakyat Kelantan yang menyokong parti tersebut. Apakah kerana sebahagian lain menolak, maka sokongan mereka dinafikan?

Kalau tindakan ini berterusan maka dendam rakyat Kelantan kepada UBN akan berterusan. Kalau Umno benar-benar mengharap orang Kelantan menyokongnya ubahlah pendekatan dan buang sikap diskriminasi dan niat hendak menghukum kerana rakyat tidak memilih Umno. Umno dan Udin anak Yassin kena memahami kenapa rakyat Kelantan tolak Umno, bukan mereka tidak percaya kepada keupayaan Umno sebagai parti membawa pembangunan dan dapat memenuhi kehendak sebahagian rakyat, tetapi ada kalanya mereka tidak boleh menerima sikap hipokrit para pemimpinnya yang melampau-lampau.

Pemimpin yang rasuah, yang memakan projek untuk rakyat seperti PPRT, pemimpin yang 'main' dengan bini orang dan sebagainya tidak disenangi oleh rakyat. Menambahkan peruntukan untuk projek bagi diagihkan kepada kaum kerabat sehinggakan projek itu lewat bertahun-tahun dibenci dan dimurahi oleh rakyat. Ini Umno kena kaji dan memperbaiki keadaan ini.

Tindakan dan sikap sebeginilah menyebabkan sebahagian rakyat Kelantan yang menyokong dan mengundi Umno menjadi keliru dan membenci Umno kerana sikap diskriminasi melampau. Malang bagi Umno sebagai sebuah parti yang berusia lebih 60 tahun tetapi masih meneruskan tindakan-tindakan pasif dan tidak bertamadun

Tiada ulasan: