Bantahan terhadap rang undang-undang Perhimpunan Aman di Pulau Pinang berterusan tanpa sebarang gangguan daripada pihak polis semalam.
Mereka yang hadir termasuk Chow Kon Yeow (DAP-Tanjung), Ng Wei Aik (DAP-Komtar), Jason Ong (PKR-Kebun Bunga) dan pengerusi Yayasan Lim Lean Geok, Datuk Toh Kin Woon yang juga bekas pemimpin Gerakan.
Perhimpunan ini adalah yang kedua, berikutan bantahan oleh 400 orang di Kuala Lumpur City Centre pada hari Sabtu lalu.
Dalam bantahan ini, kumpulan itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap rang undang-undang itu sambil membawa sepanduk dan dan melaungkan 'hidup rakyat!
Walaupun kereta peronda polis mengelilingi kawasan itu berberapa kali untuk memantau keadaan sebelum acara bermula, pegawai dan anggota cawangan khas tidak mengganggu perhimpunan itu.
Toh, yang juga bekas exco kerajaan Gerakan Pulau Pinang berkata undang-undang baru itu mempunyai nama yang baik-baik dan kelihatan seolah-olah kebebasan berhimpun dijamin, tetapi dalam realiti, ia mengenakan lebih sekatan ke atas orang ramai.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjanji untuk membuat reformasi pada 15 September lalu dengan menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang paling demokratik di dunia, tetapi rang undang-undang itu membuktikan bahawa beliau berbohong," kata pemimpin veteran itu.
Rang undang-undang baru itu dikatakan lebih teruk daripada Seksyen 27 Akta Polis. Antaranya, ia didakwa mengenakan sekatan yang terlalu banyak dan memberi terlalu banyak kuasa budi bicara kepada pihak polis.
Selain itu, rang undang-undang itu juga memperuntukan denda RM20,000 terhadap peserta perhimpunan berbanding RM2,000 dalam Akta Polis, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan