Rabu, 30 November 2011

Kita bakal letak calon pemimpin BN?

Keputusan ini berdasarkan tindakan pemimpin Umno, MCA dan MIC yang terpinggir menghubungi Kita untuk tujuan berkenaan, kata Pengerusi Kedah Zamil Ibrahim.



PETALING JAYA: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) menimbang untuk meletak pemimpin Barisan Nasional (BN) yang terpinggir sebagai calon parti itu dalam pilihan raya umum akan datang (PRU13).

Keputusan ini berdasarkan tindakan beberapa pemimpin Umno, MCA dan MIC yang terpinggir menghubungi Kita untuk tujuan berkenaan, kata Pengerusi Kedah Zamil Ibrahim.

“Pemimpin Umno dan BN yang merasa terpinggir sila hubungi Kita kerana kami menawarkan peluang dan tempat kepada pemimpin yang merasakan mereka masih berpengaruh,” katanya.

Kita dipimpin oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas menteri BN dan naib presiden PKR sebelum meninggalkan parti itu tahun lalu.

Beliau mengambil alih teraju kepimpinan Kita pada Disember lepas dan parti itu mensasarkan bertanding di Kelantan dan Selangor dalam PRU13 nanti.

Zamil berkata, mungkin pimpinan BN dan Umno tidak nampak potensi pemimpin mereka yang terpinggir itu tetapi parti Kita nampak perkara ini dan ia merupakan satu bonus kepada parti baru seperti Kita.

“Ada di kalangan mereka yang saya rasa layak menjadi calon Kita di Kedah jika mereka benar-benar ingin menyertai parti dan saya cabar mereka membuat perubahan dan menonjolkan diri bersama Kita dan bukan berada di belakang tabir,” katanya.

Tiada ulasan: