Isnin, 28 November 2011

Lagi bantahan Akta Perhimpunan Aman

KEADILAN DAILY


PULAU PINANG : Sekumpulan lebih 100 orang mengadakan demonstrasi bagi membantah Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang bakal diluluskan di Dewan Rakyat.

Antara yang menyertai bantahan anjuran Suara Rakyat Malaysia itu ialah beberapa ahli Exco kerajaan negeri dan Adun.

Mereka yang hadir termasuk Chow Kon Yeow (DAP-Tanjung), Ng Wei Aik (DAP-Komtar), Jason Ong (KEADILAN-Kebun Bunga) dan pengerusi Yayasan Lim Lean Geok, Datuk Toh Kin Woon yang juga bekas pemimpin Gerakan.

Perhimpunan ini adalah yang kedua, berikutan bantahan oleh 400 orang di KLCC Sabtu lalu.

Dalam bantahan ini, kumpulan itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap rang undang-undang itu sambil membawa sepanduk dan melaungkan ‘hidup rakyat!, lapor Malaysiakini.

Walaupun kereta peronda polis mengelilingi kawasan itu berberapa kali untuk memantau keadaan sebelum acara bermula, pegawai dan anggota cawangan khas tidak mengganggu perhimpunan itu.

Toh, yang juga bekas exco kerajaan Gerakan Pulau Pinang berkata undang-undang baru itu seolah-olah memperlihatkan kebebasan berhimpun dijamin, tetapi realitinya, ia mengenakan lebih sekatan ke atas orang ramai.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjanji untuk membuat reformasi pada 15 September lalu dengan menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang paling demokratik di dunia, tetapi rang undang-undang itu membuktikan bahawa beliau berbohong,” kata pemimpin veteran itu.

Chow, pula yang merupakan ADUN Padang Kota berkata beliau berharap kerajaan akan menarik balik rang undang-undang itu dan mengambil pandangan orang ramai.

Rang undang-undang baru itu dikatakan lebih teruk daripada Seksyen 27 Akta Polis seperti mengenakan sekatan yang terlalu banyak dan kuasa budi bicara kepada pihak polis.

Selain itu, rang undang-undang itu juga memperuntukan denda RM20,000 terhadap peserta perhimpunan berbanding RM2,000 dalam Akta Polis, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: