Lim Guan Eng menolak spekulasi meminda Perlembagaan yang memberi jaminan hanya orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri kerana menurutnya realiti politik sudah terbukti penyandang jawatan utama negara harus dari kalangan orang Melayu.
Setiausaha Agung DAP itu akur, dalam politik negara, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merupakan orang Melayu, sebagaimana menjadi amalan sejak lima dekad lalu.
“Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri juga Melayu kecuali di Pulau Pinang,” katanya dipetik portal berita Malaysian Insider.
Beliau dengan tegas menyatakan, tidak pernah ada seorang pun pemimpin bukan Melayu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri kerana rakyat Malaysia menerima realiti politik di mana Perdana Menteri Malaysia seharusnya dari kaum Melayu.
“Oleh itu, ura-ura untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan orang Melayu hanya untuk menjadi Perdana Menteri bukan sahaja tidak diperlukan, malah bersifat perkauman kerana menganggap rakyat bukan Melayu sebagai rakyat kelas kedua,” kata beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Rakyat tidak akan menyokong sebarang usaha Umno jika mahu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi semata-mata menjamin hanya orang Melayu boleh menjadi perdana menteri.
DAP merupakan salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat. Dua anggota lain ialah PAS dan PKR.
Ketua Pembangkang itu menjelaskan cabaran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin agar Umno meminda Perlembagaan hanya satu strategi sayap pemuda itu, bukannya pendirian PKR ataupun Pakatan Rakyat.
“Ia satu cabaran sebab Umno terus berkata Melayu, Melayu, Melayu. Jika Umno benar-benar komited, maka kami hendak tahu jika mereka berani lakukan apa yang mereka (terus) perkatakan di kampung-kampung orang Melayu,” kata Anwar menjawab ucapan Shamsul Iskandar.
Dalam ucapan dasarnya kelmarin, Shamsul Iskandar mencabar Umno agar meminda Perlembagaan Persekutuan dan menetapkan jaminan jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh seorang Melayu jika benar parti teras BN itu mendakwa hanya Umno yang mampu melindungi kaum Melayu.
Kata Shamsul Iskandar, alasan jawatan tersebut dipegang oleh seorang Melayu hanya semata-mata kerana Umno berkuasa tidak boleh diterima.
Jelas beliau, perkara itu tidak asing di Malaysia kerana hampir semua negeri di Malaysia mensyaratkan ketua kerajaan negeri mesti seorang Melayu.
Pertengahan tahun ini, media pro-Umno pernah menyiarkan muka depan bahawa ada usaha di kalangan pemimpin DAP mahu menjadikan orang Kristian sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun laporan itu terbukti tidak benar.
Dalam kenyataannya, Lim menambah, jawatan politik tertinggi yang boleh disandang bukan Melayu sekarang adalah setakat anggota Kabinet persekutuan dan juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Malah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, satu-satunya jawatan yang dipegang bukan Melayu, mungkin akan jatuh ke tangan Umno kerana Umno bertanding kerusi yang paling banyak di kalangan parti komponen BN di Pulau Pinang,” katanya.
Daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, Umno bertanding 15 di kawasan, Gerakan 13, MCA 10 dan MIC dua.
“Kalau BN membentuk kerajaan dan selagi Umno bertanding kerusi yang paling banyak, mana-mana Ketua Menteri BN akan menjadi boneka Umno sampailah seorang calon Umno menjadi Ketua Menteri,” katanya.
Walaupun masyarakat Melayu mempunyai kawalan yang hebat dalam sektor-sektor politik, awam dan swasta, kata Lim, DAP tidak pernah pun menggunakan isu-isu itu untuk menakutkan rakyat bukan Melayu.
“DAP tidak pernah berlaku begitu kerana kita menganggap semua orang Melayu mempunyai hak dan peluang yang sama dengan rakyat Malaysia yang lain dalam sektor-sektor tersebut.
“Ini jelas dibuktikan apabila 70 peratus daripada kontrak kerajaan negeri Pulau Pinang telah dimenangi oleh kontrak Melayu, lantas membuktikan bahawa kontraktor Melayu mampu berdaya saing,” katanya lagi sambil menambah, “hanya kontraktor kroni Umno yang tidak mampu bersaing.”
Tambahan pula, kata beliau, kerajaan negeri Pulau Pinang telah melantik penjawat-penjawat awam yang tertinggi berdasarkan kebolehan mereka.
Jelas beliau, secara kebetulan mereka juga Melayu dan ini termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan juga ketua kedua-dua Majlis Perbandaran di Pulau Pinang dan Seberang Perai.
Oleh itu kata Lim, sudah tiba masa untuk menolak dasar perkauman Umno kerajan orang Melayu tidak lemah dan tidak perlu kepada parti yang rasuah dan rasis seperti Umno untuk mempertahankan mereka.
“Sudah tiba masa untuk kita bersatu atas dasar-dasar bersama seperti keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan awam dan demokrasi,” katanya lagi.
Ahad, 27 November 2011
DAP akur realiti politik Perdana Menteri dari Melayu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan