Rabu, 16 November 2011

Pakatan buat permohonan baru sebaik ROS beri respons rasmi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat mahu Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi respons bertulis berhubung status permohonan mendaftarkan perikatan itu sebagai parti, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata sehingga kini agensi itu tidak memberi jawapan hitam putih berhubung perkara tersebut kecuali hanya diketahui menerusi media massa.

Dipetik Harakahdaily, katanya, jawapan ROS penting sebelum pihaknya mengemukakan permohonan baru.

“ROS mestilah keluarkan keputusan hitam putih terhadap status permohonan terdahulu yang melibatkan Datuk Zaid Ibrahim.

“Kalau dia kata tolak, tolak . . . alasanya apa, Zaid tak anggotai PKR,” katanya.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman berkata permohonan mendaftar Pakatan Rakyat secara automatik terbatal selepas Zaid selaku pemohon telah meninggalkan PKR, anggota komponen Pakatan Rakyat.

Beliau juga mendakwa, Pakatan Rakyat tidak pernah mengemukakan permohonan baru selepas dari itu.

Saifuddin berkata Pakatan Rakyat telah melantik ahli jawatankuasa PAS pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar untuk menggantikan tempat Zaid dan permohonan baru telah dilakukan kepada ketua penolong Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Namun ujarnya, ketua penolong pengarah tersebut enggan menerimanya bagi pihak ROS kerana mendakwa permohonan terdahulu belum dimuktamadkan oleh ROS.

“Kita membuat susulan dari masa ke masa. Kes itu tertangguh sehingga ketua pengarah ROS kata kita tak buat apa-apa.

“Majlis Presiden (Pakatan Rakyat) juga bersetuju untuk satu permohonan baru kita kemukakan sepantas mungkin apakala keputusan ROS itu diketahui,” katanya.

Tiada ulasan: