JAKARTA — Malaysia mengutip sembilan emas, tujuh perak dan 11 gangsa semalam dan terus kekal di tangga kelima jumlah pungutan pingat keseluruhan pada hari kelima Sukan SEA Ke-26.
Acara akuatik menjadi penyumbang terbanyak pingat emas iaitu tiga menerusi acara renang dan dua dari terjun, diikuti dua dari olahraga dan setiap satu dari memanah dan menembak.
Selepas tamat semua acara melibatkan atlet Malaysia, Malaysia mengutip keseluruhan 22 emas, 21 perak dan 34 gangsa.
Tuan rumah Indonesia terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas carta kutipan pingat dengan 71 emas, 58 perak dan 53 gangsa, diikuti Thailand (45-32-53), Vietnam (33-39-46) dan Singapura 23-23-40.
Di Pusat Akuatik, Palembang, penerjun negara Cheong Jun Heong meraih satu pingat emas dalam acara individu wanita 3m platform dengan mengumpul 310.70 mata, sementara rakan sepasukan Ng Yan Yee mendapat perak dengan 290.10 mata.
Penerjun bertaraf Olimpik, Bryan Nickson Lomas turut menambah satu lagi pingat emas menerusi acara acara 10m platform individu lelaki dengan mengumpul 500.80 mata, suatu jumlah mata tertinggi yang belum pernah dicapai olehnya dalam mana-mana kejohanan sebelum ini, lapor Bernama Online.
Skuad renang negara menyumbang tiga pingat emas melalui dua perenang jarak jauh iaitu Khoo Cai Lin (800m gaya bebas wanita) dan Kevin Yeap (400m gaya bebas lelaki) serta Siow Yi Ting (100m kuak dada wanita).
Dalam acara 800m gaya bebas, Cai Lin mencatat masa 8:50.17s untuk mengatasi Nantthanan Junkraja dari Thailand dan Raina Saumi dari Indonesia.
Acara 100m kuak dada wanita pula menyaksikan dua perenang negara Siow Yi Ting dan Christina Loh, masing-masing meraih pingat emas dan perak dengan catatan masa 1:10.55s dan 1:10.57s.
Sementara Kevin berjaya mencatat masa 3:55.07 saat, hanya kira-kira 0.02 saat untuk menyamai rekod kebangsaan dan juga rekod Sukan SEA milik Daniel Bego iaitu 3:53.99s yang dilakukan pada Sukan SEA Laos, dua tahun lepas.
Juara bertahan acara lompat bergalah wanita Sukan SEA, Roslinda Samsu bukan sahaja meraih emas dari acara tersebut malah mencipta rekod baru kejohanan 4.20m bagi mengatasi rekod lama miliknya iaitu 4.15m.
Ratu lari berpagar negara Noraseela Mohd Khalid menepati jangkaan apabila mengungguli acara kegemarannya 400m lari berpagar wanita dengan mencatat masa 57.41s.
Di Lapang Memanah Senayan di Jakarta, dua pemanah negara yang telah menempah tiket ke Olimpik London 2012, Cheng Chu Sian meraih pingat emas sementara rakan senegara Mohamad Khairul Anuar mendapat perak dari acara Recurve individu.
Sementara di Lapangan Sasar di Palembang, Nur Suryani Muhamed Taibi membidik pingat emas kedua selepas mengungguli acara 10m Air Rifle wanita.
Sebelum ini, Nur Suryani menghadiahkan emas pertama negara dalam acara 50m Rifel 3 Posisi pada Sabtu lalu.
Skuad boling negara pula sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa yang disumbangkan oleh Adrian Ang dengan mengumpul 1,359 jatuhan pin, ketinggalan 27 pin di belakang pemenang pingat emas, Frederick Ong dari Filipina.
Skuad badminton Malaysia juga gagal memberikan emas bila sekadar meraih pingat perak selepas kalah 1-3 kepada pasukan tuan rumah pada aksi final, acara badminton berpasukan lelaki.
Hari ini, sebanyak 54 pingat emas menjadi rebutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan