KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menterjemah keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Akta Universiti dan Kolej (Auku) bertentangan dengan perlembagaan.
Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, justeru itu kerajaan perlu memansuhkan akta tersebut yang bersifat zalim dan mengongkong sepertimana akta hasutan, akta mesin cetak dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Ia merupakan satu keputusan yang berani oleh para hakim. Saya melihat perlunya komitmen kerajaan sedia ada untuk memansuhkan Auku ini yang menghalang kebebasan mahasiswa untuk menyatakan pandangan dan dunia akademik itu sendiri.
“Saya juga melihat tidak perlu untuk kerajaan menggantikan Auku ini dengan akta yang baru kerana seperti yang kita ketahui Auku ini wujud pada era tahun 1970 dan pada ketika itu universiti sudahpun wujud di Malaysia, ” katanya lapor Tv Selangor.
Dr Aziz Bari juga berkata jika kerajaan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut, ia menunjukkan kerajaan sedia ada tiada kesungguhan untuk mengembalikan hak kebebasan mahasiswa dan akademik di Malaysia.
Pada 31 Oktober lalu, mahkamah rayuan memutuskan seksyen 15 (5) dalam Auku yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya yang terlibat dalam parti politik sebagai tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.
Keputusan itu dibuat secara majoriti apabila Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Hulu Selangor April 2010.
Sementara itu Kabinet hari ini membenarkan Kementerian Pendidikan Tinggi membuat rayuan terhadap penghakiman mahkamah bahawa Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) adalah tidak sah dan dan mencabul kebebasan bersuara.
Lamanweb sebuah akhbar bahasa Cina, yang memetik sumber-sumber kabinet itu berkata keputusan itu dibuat kerana keputusan Mahkamah Rayuan itu dianggap “bercanggah dengan semangat pemisahan kuasa”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan