KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merayu keputusan mahkamah dalam isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, membuktikan pimpinan Datuk Seri Najib Razak takut kebangkitan anak muda dan mahasiswa.
Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, tindakan kabinet Najib itu tidak mengentarkan perjuangan mahasiswa menuntut kebebasan dan keadilan.
“Tindakan pimpinan Umno BN ini bukan sahaja zalim tetapi seolah-olah menjadikan undang-undang negara umpama milik Umno BN.
“Biro Mahasiswa AMK Malaysia berpandangan Mahasiswa seharusnya diberi ruang beraktiviti dan mencurah pandangan selaku kelompok terdidik dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahasiswa katanya, bukan lagi pelajar sekolah sehingga segalanya perlu dikawal.
“Ruang untuk aktivisma dan menggarap idealisma serta intelektualisma mahasiswa ini mampu untuk melahir generasi pelapis kepimpinan Negara yang berkarisma.
“Dengan ini Biro Mahasiswa AMK Malaysia mendesak agar dihentikan penindasan terhadap mahasiswa dan menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk bangkit menentang penguasa zalim,” katanya.
Media melaporkan kabinet membenar KPT merayu terhadap penghakiman mahkamah rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 15 AUKU adalah tidak sah dan dan mencabul kebebasan bersuara.
Pada 31 Oktober lalu, mahkamah rayuan memutuskan seksyen 15 (5) dalam AUKU yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya yang terlibat dalam parti politik sebagai tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.
Keputusan itu dibuat secara majoriti apabila Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Hulu Selangor April 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan