Selasa, 18 Mei 2010

Wartawan buat laporan polis terhadap bank

Salhan K Ahmad



Seorang wartawan sambilan membuat laporan polis terhadap sebuah bank utama yang didakwanya telah mengenakan bayaran balik untuk pinjaman perumahannya melebihi 60.17 peratus daripada yang sepatutnya.

Hazlinda Hamzah, 45, dan ibu kepada lima orang anak, membuat aduan itu terhadap Malayan Banking Berhad pada 14 April lalu di balai polis Subang Jaya, Selangor.

Laporan polis itu diedarkan kepada para wartawan yang menghadiri sidang akhbar Hazlinda bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di ibunegara hari ini.

Dalam laporan tersebut, Hazlinda berkata, beliau mengambil pinjaman perumahan berjumlah RM375,000 pada 2000 daripada Maybank cawangan USJ 9, Subang Jaya untuk tempoh 19 tahun.

Katanya, menurut pihak bank, kadar keuntungan untuk pinjaman itu bagi tempoh dua tahun pertama ialah 5.5 peratus dan 17 tahun seterusnya pada kadar 8.25 peratus.

Menurut aduan itu lagi, pada bulan Mac 2010, beliau telah ke Bank Negara cawangan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur untuk membuat semakan perkiraan pinjaman tersebut.

Hazlinda berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa berdasarkan bayaran balik yang dikenakan ke atasnya untuk tempoh 19 tahun sebenaar dikira mengikut kadar 12.75 peratus secara keseluruhannya.

Sedangkan, katanya, dalam aduan itu lagi, purata kadar keuntungan yang dikenakan untuk pinjaman tersebut, telah dijanjikan oleh pihak bank pada kadar 7.96 peratus.

Menurut aduan itu lagi, Hazlinda berkata, setelah kiraan dibuat oleh wakil Bank Negara, didapati jumlah bayaran balik yang dikenakan terhadapnya mlebihi 60.17 peratus daripada yang sepatutnya.

Hazlinda juga, dalam aduannya itu, berkata Maybank cawangan USJ 9 Subang Jaya - tempat beliau mengambil pinjaman tersebut - tidak lagi beroperasi sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar hari ini, Hazlinda berkata: "Kalau saya bayar, bermakna saya bersetuju untuk membayar dengan amaun yang salah. Saya akan kehilangan hak saya untuk mempertikaikannya."

Berikutan itu, Hazlinda mendakwa beliau kerugian lebih RM300,000 akibat menandatangani perjanjian pinjaman bagi tempoh 19 tahun dengan bank tersebut bermula tahun 2000.

Beliau mendakwa, berikutan itu, beliau berhenti menjelaskan bayaran bulanan sejak tahun 2001.

Mengulas lanjut, Hazlinda berharap supaya satu siasatan dijalankan ke atas bank tersebut bagi memeriksa sistem pengiraan bayaran balik pinjaman yang digunakan.

"Sekiranya (pihak bank) bersalah, mereka patut dihukum dan saya patut dibayar gantirugi," katanya.

3 ulasan:

tombolo berkata...

kadar bayran balik yang dikenakan untuk pinjaman iaitu 60.17 peratus adalah terlalu tinggi dan ia tidak mengikut perjanjian pinjaman iaitu 5.5 peratus bagi dua tahun pertama dan 17 tahun seterusnya pada kadar 8.25 peratus. siasatan perlu dilakukan terhadap Bank tersebut.

somboi berkata...

bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku? purata kadar keuntungan yang dikenakan untuk pinjaman yang telah dijanjikan oleh pihak bank ialah pada kadar 7.96 peratus. tp bagaimana ia boleh menjadi melebihi 60.17 peratus daripada yang sepatutnya. siasatan perlu dilakukan terhadap sistem pengiraan bank tersebut..

POP berkata...

Wah, 60.17% lebih drpd pinjaman? Banyaknya, memang tak logik, menipukah bank tu??