Sabtu, 8 Mei 2010

Umno Main Sentimen Perkauman Tarik Undi Melayu


SUARA KEADILAN

PULAU PINANG - Tindakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim yang meniup api perkauman memang wajar dihadapkan ke Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan dan pihak polis seharusnya mengambil pendekatan yang serius menyiasat perkara tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman berkata kenyataan Azhar yang berbaur hasutan itu hanyalah untuk menarik semula sokongan pengundi Melayu di Pulau Pinang dan tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan.

"Kita telah rujuk beliau ke Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan dan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP) juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pantai.

"Beliau telah mengeluarkan perkataan dan tindakan yang keterlaluan dan memang wajar tindakan diambil terhadapnya," ujar Mansor yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Pulau Pinang.

Menurut Mansor lagi, perbuatan Azhar itu bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang diwar-warkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

"Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan terhadap beliau serta Majlis Tertinggi Umno mengenakan tindakan displin kepadanya kerana ini jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negara," tegas Mansor ketika dihubungi Suara Keadilan.

Azhar yang juga Ahli Dewan Uundangn Negeri Penaga didakwa membangkitkan sentimen perkauman dengan memberi amaran kepada rakyat 13 Mei akan berlaku jika rakyat menafikan peranan polis.

Beliau turut mengugut rakyat Pulau Pinang ini agar menerima tentera menjaga keselamatan mereka jika rakyat sudah tidak mahukan polis lagi dan yang paling mengecewakan beliau berkata adalah lebih senang suasana Mageran diwujudkan kembali.

Azhar membuat ucapan pencelahan itu ketika sesi pengulungan perbahasan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada sidang DUN semalam.

Tiada ulasan: