Khamis, 13 Mei 2010

Pertukaran Pelajar Unisel, Universiti Petra Jordan Berminat

TV SELANGOR


SHAH ALAM : Beberapa universiti di Jordan dan Mesir menyatakan minat untuk menjalin usahasama dengan Universiti Industri Selangor (Unisel) dalam beberapa program kajian dan pertukaran pelajar.

Hal ini dimaklumkan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Selangor, semalam.

Halimah yang baru pulang dari lawatan kerja di Jordan dan Mesir awal bulan ini menyatakan, mereka berminat kerjasama berikutan Malaysia khususnya di Selangor.

"Antara program yang kita setuju ialah bersama-sama melibatkan pelajar pra-sarjana, pasca-graduan termasuk pelajar sarjana atau PHD untuk mengadakan pertukaran dengan pelajar universiti di Jordan dan Mesir.

"Begitu juga dengan usahasama dalam penyelidikan. Kita ada khazanah yang begitu luas. Para saintis di Jordan dan Mesir berminat bersama-sama mengikuti usahasama ini," katanya.

Katanya, pentadbiran Universiti Petra Jordan dijangka menghantar wakil mereka mulai Julai ini ke Unisel bagi menjalinkan kerjasama manakala universiti lain bakal menyusul tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Dr Halimah berkesempatan bertemu menteri dan wakil kementerian pengajian tinggi kedua-dua negara bagi membincangkan masalah pelajar Malaysia di rantau Timur Tengah itu.

Beliau turut membantu menyelesaikan masalah pelajar Malaysia di Mesir yang dihalang menduduki peperiksaan kerana masalah kekeliruan dokumen.

"Saya juga berjumpa dengan Menteri Pengajian Tinggi Mesir untuk menyelesaikan masalah, antaranya pelajar Malaysia tidak dibenar menduduki peperiksaan akhir kerana dokumen tidak lengkap, tidak diproses kementerian pengajian tinggi.

"Alhamdulillah, hasil pertemuan saya, Menteri Pengajuan Tinggi Mesir membenarkan mereka menduduki peperiksaan," kata Dr Halimah.

Terdapat kira-kira 1,500 pelajar Malaysia menuntut di Jordan dan lebih 7,000 mengikuti pengajian di Mesir.

Tiada ulasan: