Isnin, 3 Mei 2010

Pemimpin Umno-BN buka laluan saman Sultan


Dari : http://lanh14.blogspot.com/


Tidak lama dulu, kerap berlaku tunjuk perasaan (demonstrasi) dan laporan polis. Jika dulu demonstrasi sinonim dengan apa didakwa kumpulan pembangkang, kini orang Umno daripada sayap Pemuda (termasuk Putera) dan Puterinya pun sudah pandai menunjuk perasaan.

Mereka menunjuk perasaan dalam pelbagai isu daripada tol dan kehilangan kuasa (seperti di Pulau Pinang) dan kini dalam soal kedaulatan raja iaitu isu derhaka dan saman ke atas Sultan Perak yang diuar-uarkan akan dikemukakan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Dalam soal ini, pemuda dan pemudi (puteri) Umno cepat melenting, tetapi maafkanlah mereka sebab mereka berdarah panas kerana begitulah adat muda, pantang dicabar sudah naik angin untuk melawan.

Baguslah, sebab ia menunjukkan mereka ada harga diri, mempertahankan sesuatu yang mereka lihat wajar dipertahankan.

Tetapi sebagai golongan muda yang masih banyak masa untuk merenung dan berfikir serta mentelaah, mereka sewajarnya mengkaji sebaik-baik dan mendalam apa yang diperkatakan oleh Karpal Singh, peguam tersohor itu. Penulis bukan mahu mempertahankan Karpal, tetapi mahu tahu apa landasan menyebabkan beliau berani bertindak menyaman Sultan.

Dalam satu sidang akhbarnya (selepas banyak laporan polis dibuat terhadapnya), yang sempat penulis lihat dalam ruangan berita TV3, Karpal Singh yang berkerusi roda, antara lain berkata, dia mempunyai premis yang baik untuk menyaman Sultan Perak.

Kata Karpal, sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan faham apa yang dia perkatakan, dan dia (Karpal) meminta wartawan bertanyakan sendiri perkara itu kepada Sultan.

Penulis sendiri tertanya-tanya apa yang dimaksudkan oleh Karpal; dan setakat ini belum lagi membaca laporan (wartawan) berkaitan apa yang disuruh Karpal Singh tanyakan kepada Sultan.

Bagaimanapun, atas perasaan ingin tahu, dan selepas bertanyakan rakan-rakan, penulis berpeluang menyemak buku teks sekolah yang membicarakan Perlembagaan Negara.

Buku itu adalah; Teks Pengajian Am STPM Kertas 1 dan 2 (Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd - Oxford)

Penulisnya adalah Wong Khek Seng; Raminah Haji Sabran; dan Kok Meng Kee.

Dalam Bab 6: Sistem Kehakiman Malaysia ditulis:

Mahkamah Khas (muka surat 183)

1. Mahkamah-mahkamah Khas membicarakan kesalahan oleh pihak-pihak tertentu sahaja.

2. Mahkamah ini tertutup (kecuali Mahkamah Syariah) dan tidak terbuka kepada orang ramai.

Jadual 6:4 (Jenis-jenis Mahkamah Khas di Malaysia) Mahkamah Khas Raja-Raja - kes-kes kesalahan yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-Sultan.

Mahkamah lain adalah Mahkawan Juvenil; Mahkamah Syariah; Mahkamah Tentera; Mahkamah Bumiputera dan Mahkamah Perusahaan.

Mahkamah Khas Raja-Raja (muka surat 185-186)

1. Mahkamah Khas Raja-Raja ditubuhkan di bawah Bahagian XV, Perlembagaan Persekutuan pada 29 Mac 1993.

2. Mahkamah ini membicarakan kesalahan yang dilakukan oleh DYMM atau Sultan mana-mana negeri atas sifat peribadinya.

3. Bidang kuasa mahkamah ini sama seperti Mahkamah Awam yang lain melalui Perlembagaan atau Undang-Undang Persekutuan dan pejabat pendaftarannya adalah di Kuala Lumpur.

4. Prosiding Mahkamah Khas Raja-Raja diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota dan keputusannya adalah muktamat.

5. Tindakan atau prosiding mahkamah ini hanya mula dimulakan oleh Peguam Negara.

Keanggotaan Mahkamah Khas Raja-Raja

Perkara 182, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keadilan mahkamah ini:

1. Dipengerusikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan.

2. Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi.

3. Dua orang lain yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan/Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Bidang Kuasa Mahkamah Khas Raja-Raja

1. Mahkamah Khas ini mempunyai bidang kuasa membicarakan semua kesalahan yang dilakukan oleh DYMM atau Sultan negeri-negeri di dalam Persekutuan.

2. Mahkamah Khas memiliki bidang-bidang kuasa sam seperti mahkamah-mahkamah awam yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

3. Semua prosedur sivil dan jenayah di mahkamah-mahkamah awam boleh dilaksanakan di Mahkamah Khas Raja-Raja.

4. DYMM atau Sultan terpaksa turun takhta jika dipenjara sehari atau lebih.

Demikianlah, selepas membaca bahagian ini, barulah penulis faham mengapa Karpal Singh begitu berani mahu menyaman Sultan Perak. Dia yakin dia ada hak berdasarkan kewujudan Mahkamah Khas Raja-Raja ini.

Berdasarkan catatan buku itu dinyatakan, Mahkamah Khas Raja-Raja ditubuhkan di bawah Bahagian XV, Perlembagaan Persekutuan pada 29 Mac 1993. Jadi apa sebenarnya yang berlaku pada tahun ini?

Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, Kapal tidak akan dapat menyaman Sultan Perak tanpa Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 (Kekebalan Raja-Raja) yang turut disokong oleh Timbalan Perdana Menteri (sekarang ini) Najib Razak dan ramai menteri dan ahli Parlimen BN yang masih berkhidmat sehingga hari ini.

"Pindaan itulah yang mewujudkan Mahkamah Khas kepada raja-raja Melayu," katanya, sambil menambah adalah menghairankan ahli-ahli Umno menunjuk perasaan membantah Karpal.

"Sepatutnya mereka menunjuk perasaan di depan pejabat Najib membantah tindakan beliau dan para pemimpin Umno dan BN lain yang menyokong dan meluluskan rang undang-undang yang membolehkan raja-raja Melayu disaman," katanya.

Karpal, katanya, tidak akan mendapat laluan jika pemimpin Umno dan BN tidak menyediakan laluan dengan pindaan Perlembagaan 1993 itu. "Adalah kelakar jika orang menggunakan laluan untuk menyaman raja-raja Melayu sahaja dimarahi sedangkan orang yang menyediakan laluan itu tidak dimarahi," katanya.

Berdasarkan FAKTA buku Pengajian Am itu, adalah penting untuk penunjuk perasaan Umno terutama pemuda dan puterinya yang berpendidikan tinggi (sekurang-kurangnya lepasan STPM yang sudah belajar Pengajian Am) untuk memikirkan rasional mereka menunjuk perasan.

Janganlah menunjuk perasaan berdasarkan sentimen emosi sebaliknya bertindaklah berdasarkan MAKLUMAT dan ILMU. Janganlah diingkari ilmu yang ditimba di sekolah dan universiti dulu!

Tiada ulasan: