Rabu, 12 Mei 2010

Najib: Orang Melayu mula kembali, optimis masa depan Umno

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau kini lebih optimis dengan masa depan Umno kerana usaha-usaha yang diambil untuk memulihkan keyakinan orang Melayu semakin berhasil.

Malah Najib yang juga Perdana Menteri berkata, kejayaa Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya kecil yang lalu iaitu Bagan Pinang dan Hulu Selangor menunjukkan orang Melayu sudah mula kembali kepada Umno.

Umno-BN berjaya mengekalkan kerusi Bagan Pinang dan merampas semula Hulu Selangor.

Presiden Umno menyifatkan sambutan tahun ini lebih meriah berbanding sebelum ini dengan berkata: “Mungkin kepada kita semua, mood dalam Umno hari ini bertambah, lebih berkeyakinan akan masa depan parti.”

Najib Razak menyampaikan ucapan pada majlis sambutan ke-64 Umno di PWTC. – Gambar oleh Choo Choy May
“Sekurang-kurangnya kalau kayu pengukurnya pada dua pilihan raya kecil lepas (Bagan Pinang dan Hulu Selangor) jelas menunjukkan orang Melayu, walaupun mungkin tidak semua, sudah kembali kepada Umno,” kata beliau ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-64 Umno di sini malam tadi.

“Oleh itu saya merasa syukur segala usaha, perkara yang dimulakan dan segala yang sudah dilaksanakan telah membuahkan hasil yang lebih meyakinkan.

“Oleh itu sambutan ulang tahun ke-64 Umno ini, saya berasa lebih optimis tentang masa depan parti,” katanya.

Sebelum itu, Najib dan anggota Umno memulakan acara sambutan ulang tahun Umno dengan menunaikan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Yasin, Tahlil serta doa kesyukuran sebelum solat Isyak di Dewan Tun Razak, PWTC.

Najib turut mengingatkan anggota parti bahawa walaupun kini sokongan kepada parti agak meningkat khususnya di kalangan orang Melayu, namun anggota parti tidak boleh menjadikan Umno dilihat hanya memperjuangkan kelompok tertentu sahaja.

Perdana Menteri sebelum itu memuji semangat seorang anggota veteran Umno yang sanggup menaiki bas selama enam jam semata-mata untuk hadir ke majlis pada malam ini.

Najib berkata: “Jadikan contoh pejuang tadi (datang) kerana sayangkan parti... sayang Umno dia sanggup naik bas enam jam untuk hadir (majlis tahlil dan bacaan Yasin).

“Kerana sayangkan Umno, sanggup berjuang habis-habisan. Sayang Umno mesti jadi pejuang yang dekat di hati rakyat dan sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: