| SABAH DAILY |
| GELAP…. Ketiadaan lampu jalan menyukarkan jarak penglihatan pengguna jalanraya. KEMUDAHAN infrastruktur merupakan nadi pembangunan bagi sesebuah komuniti baik di bandar atau di luar Bandar, namun selepas 47 tahun merdeka, segala kemudahan asas tersebut belum dinikmati penduduk Pekan Merotai Besar, Tawau. Apa yang menjadi kekurangan bagi pekan ini adalah kemudahan lampu jalan di sepanjang 10 km bermula dari persimpangan Muis Melewar sehingga ke penghujung Kg.Iban Merotai. Sehubungan itu kerajaan perlu memberi perhatian yang serius terhadap keperluan asas ini kerana telah membelanjakan berbilion ringgit untuk menaiktaraf kemudahan asas negeri Sabah, namun apa yang menyedihkan tidak ada satu peruntukan pun yang disediakan bagi kemudahan asas penduduk Merotai. Pengerusi Sabah DAP Merotai, Robert Penggai juga menegaskan dengan adanya lampu jalan ini akan mampu menolong pengguna jalanraya dengan jarak penglihatan yang baik pada waktu malam malah keselamatan pejalan kaki juga terjamin. Gesaan ini dilakukan akibat dari beberapa kejadian kemalangan yang berlaku melibatkan pejalan kaki. Sebagai contoh beberapa bulan lalu satu kemalangan membabitkan seorang penduduk kampung yang sedang berjalan kaki telah dirempuh oleh sebuah motosikal disebabkan tahap penglihatan yang terhad kerana keadaan jalan yang gelap dan sehingga mengakibatkan kecederaan yang parah kepada kedua-dua pengguna jalanraya. “Masalah sosial seperti lepak kalangan belia, samun, pecah rumah dan lain-lain akan dapat dielakkan dengan adanya kemudahan ini,” tambah beliau lagi yang menjelaskan penduduk kampung boleh menambah sumber ekonomi mereka dengan mendirikan gerai-gerai jualan sehingga waktu malam. Kini sudah tiba masanya kerajaan perlu menyediakan kemudahan lampu jalan bagi penduduk Merotai yang terlalu lama ditangguh oleh pihak yang berwajib kerana dalam menjadi sebuah negara yang maju, setiap infrastruktur kemudahan asas seharusnya wujud bagi keselesaan dan kesenangan rakyat, “Agi Idup Agi Ngelaban”. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan