SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menguatkuasakan
undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengingkari dan mempertikai perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, seksyen itu juga memperuntukkan bahawa perintah yang dikeluarkan baginda atau Mais, yang bertujuan menjaga kesucian agama Islam dan institusinya akan berkuat kuasa serta-merta tanpa perlu diwartakan seperti yang didakwa Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.
Menurutnya, Mufti Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi menandatangani titah perintah sultan yang diedarkan kepada pegawai dan Jawatankuasa Kariah Masjid berhubung larangan penggunaan kawasan itu sebagai gelanggang politik yang boleh memecah belahkan perpaduan.
“Mais amat dukacita atas kenyataan Zaid. Sebagai bekas calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor lalu, beliau sepatutnya lebih peka terhadap undang-undang negeri ini.
“Subfasal 55( 2) (d) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor juga ada menyatakan bahawa sultan mempunyai kuasa dan budi bicara sendiri dalam menjalankan fungsinya sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor,” katanya.S/H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan