| Keputusan PRK Sibu akhirnya diumumkan secara rasmi pada jam 10.58 malam kelmarin. Calon DAP-Pakatan Rakyat Richard Wong Ho Leng yang sebelum ini dianggap tidak berpeluang mengecapi kemenangan, akhirnya membuat kejutan apabila menang tipis ke atas calon SUPP-BN Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi.
PRU 8 Mac 2008 menyaksikan bagaimana kuasa kerajaan di lima negeri jatuh ke tangan PR, dan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen dinafikan. 11 PRK yang diadakan selepas tanggal tersebut, sama ada melibatkan kawasan DUN mahupun parlimen, memperlihatkan kecenderungan orang Cina terhadap PR. Biarpun calon PKR-Pakatan Rakyat Zaid Ibrahim gagal mempertahankan kerusi PR dalam PRK Hulu Selangor pada 25 April 2010, namun PR tetap meraih sokongan kira-kira 80% pengundi Cina.
Namun demikian, "krisis" mungkin bukan istilah yang paling tepat untuk menggambarkan keadaan BN sekarang. Sejak PRU pada tahun 2008, BN bukannya tidak tahu bahawa sokongan Cina terhadapnya semakin mengurang. Malah, kerana pemahaman itulah, BN semakin bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk memikat undi orang Cina. Misalnya, ketika PRK Hulu Selangor dan PRK Sibu, Najib turun sendiri ke padang untuk menaburkan jutaan dan puluhan juta ringgit kepada sekolah Cina dan kawasan perumahan Cina.
Imaginasi baru untuk pengundi Apa yang memilukan BN adalah, mungkin mereka masih tidak tahu, semakin mereka memikat undi Cina dengan gula sedemikian, semakin terdedahnya ketidaksaksamaan dasar kerajaannya ketika melayani kaum bukan bumiputera dalam puluhan tahun yang lepas. Semakin BN menabur peruntukan sekali gus kepada sekolah Cina, semakin hebat ia mencungkil ketidakpuasan dan rasa protesnya yang terpendam pada zaman di mana "mustahil berlaku pertukaran kerajaan".
Saban kali apabila kehilangan undi Cina dalam pilihan raya, BN akan berlagak bingung dan mengajukan soalan, "Apa orang Cina mahu?" Selepas kekalahan dalam PRK Sibu, Timbalan Setiausaha SUPP Wong Soon Koh ketika menjawab soalan daripada media berkata, "Saya sudah tidak tahu apa yang orang Cina Sibu mahu."
Sokongan pengundi Cina terhadap PR, terutamanya mengundi calon Melayu di kawasan majoriti Melayu seperti Hulu Selangor, telah menyanggah tuduhan bahawa Cina bersikap cauvinis. Pada hakikatnya, ia merupakan satu langkah ke depan dalam politik berbilang kaum, dan apa yang dikecapi hari ini merupakan hasil yang terkumpul sejak pergerakan reformasi pada tahun 1998. Namun demikian, kemanisan datang bersama keresahan. Selepas PRU 2008, suasana politik yang memperlihatkan konflik antara kaum berkembang seiring dengan politik baru yang dianjurkan PR. PR mungkin menyambut sokongan pengundi Cina, tetapi pada masa yang sama perlu berdepan dengan ideologi yang dibawa oleh UMNO dan PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia). Harus diingatkan, perluasan pengaruh politik berbilang kaum adalah usaha politik yang lebih penting daripada sekadar memenangi PRK. *Lidah Pengarang MerdekaReview pada 17 Mei 2010, diterjemahkan daripada bahasa Cina. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan