KUALA LUMPUR- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) berjumlah RM2.765 juta.
Pengerusinya, Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, jumlah itu merupakan peningkatan 0.8 peratus yang dibayar bank tersebut berbanding tahun lalu sebanyak RM2.743 juta.
"Ini merupakan pembayaran zakat perniagaan kali ke-13 yang dilakukan oleh Bank Rakyat dan sehingga kini rekod bayaran terkumpul bank itu di PPZ-MAIWP adalah sebanyak RM22.6 juta.
"Melalui rekod pembayaran terdahulu juga, kita dapati pembayaran yang dilakukan oleh Bank Rakyat meningkat setiap tahun dan yang lebih membanggakan apabila ia merupakan salah satu institusi kewangan yang membayar zakat perniagaan secara berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat di sini hari ini.
Tambah Mustafa, pihaknya juga menyasarkan untuk memperolehi kutipan zakat perniagaan berjumlah RM250 juta tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak RM242 juta.
Katanya, sehingga bulan April tahun ini, sebanyak tujuh buah institusi kewangan dan takaful telah membayar zakat perniagaan mereka yang berjumlah RM1.215 juta.
"Sepanjang tahun lalu, hanya sebelas buah institusi kewangan dan takaful yang telah membayar zakat perniagaan mereka kepada PPZ-MAIWP dengan jumlah RM6.273 juta.
"Oleh itu, kita optimis akan terdapat peningkatan jumlah pungutan zakat pada tahun ini setelah melihat kepada perkembangan ekonomi yang lebih baik dan kesedaran di kalangan orang ramai," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan