Khamis, 4 Disember 2008

Selangor anjur seminar halal 15 Disember depan

Muhammad Ariff


SHAH ALAM - Stadium Malawati sekali lagi bakal dimeriahkan dengan satu Seminar Pembangunan Halal Nasional yang bakal diadakan pada 15 Disember depan yang dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai salah satu aktiviti kempen Jualan Selangor Ria 2008 yang bermula pada 13 hingga 21 Disember ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata seminar ini tidak akan berjaya jika tidak mendapat kerjasama daripada agensi-agensi seperti Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor, Halal Industri Development Corporation (HDC), Biro Korporat DPIM dan diuruskan oleh IPPL Sdn.Bhd.

"Seminar ini bakal melibatkan 300 orang peserta yang akan diberi pendedahan serta penjelasan tentang peranan HDC dalam pembangunan industri halal di Selangor," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyaurat exco kerajaan negeri di sini.

Beliau berkata ini merupakan platform kepada peserta untuk mencari dan meneroka peluang-peluang perniagaan dalam industri halal dengan mewujudkan jaringan, membuka peluang pasaran, mendapat khidmat nasihat dan insentif-insentif dari agensi yang terlibat.

Seminar ini juga akan menampilkan pelbagai topik kertas kerja berkaitan dengan industri halal yang akan disampaikan antaranya oleh beberapa tokoh korporat terkenal seperti Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim, Naib Presiden DPIM yang juga Ketua Eksekutif Johor Corporation dan Presiden FOMCA, Datuk N.Marimuthu.

Selain itu, satu klinik usahawan turut diadakan dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang pada 16 Disember yang akan melibat agensi-agensi seperti SMIDEC, SIRIM, TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, MATRADE dan banyak lagi, katanya.

"Klinik ini diadakan bagi memberi peluang kepada para usahawan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan daripada agensi terlibat dalam membantu menyelesaikan masalah serta mengembangkan aktiviti keusahawanan mereka.

"Program ini diadakan adalah sebagai salah satu usaha prihatin kerajaan Negeri Selangor untuk melahirkan golongan usahawan yang berdaya maju dan komited dalam meningkatkan aktiviti perniagaan bagi pembangunan negara dan negeri", katanya.-Hrkh_

Tiada ulasan: