Jumaat, 19 Disember 2008

Pesara pindah luar negara layak terima pencen

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Pesara kerajaan dan penerima pencen terbitan yang berhijrah dan tinggal di luar negara akan layak menerima pencen melalui pindaan Akta Pencen 1980, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, melalui pindaan itu, syarat pemastautinan di Malaysia akan dimansuhkan yang akan membolehkan golongan pesara dan penerima pencen akan dapat menikmati pencen mereka di mana juga mereka berada.

"Memandangkan bahawa pencen dan juga pencen terbitan ialah untuk mengenang jasa pengkhidmat awam, maka adalah wajar dasar keperluan mastautin di negara ini dimansuhkan supaya penerima pencen dapat menikmati pencen di mana juga mereka berada," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang Pencen (Pindaan) (No. 2) 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Pemansuhan itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira bahawa ramai pesara dan penerima pencen telah berhijrah dan tinggal di luar negara.

Antara sebab pesara terpaksa bermastautin di luar Malaysia ialah untuk tinggal bersama anak atau cucu yang sanggup menjaga mereka di hari tua.

Beliau berkata, ketika ini terdapat seramai 657 balu atau duda yang bermastautin di luar Malaysia telah berhenti menerima pencen terbitan, manakala seramai 1,332 pesara bermastautin di luar negara menerima pencen asal (tanpa unsur pelarasan).

"Keseluruhan tambahan perbelanjaan kerajaan untuk dasar ini adalah sebanyak RM32 juta bagi tahun 2009," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rang undang-undang itu kerajaan juga bersetuju untuk menghitung semula pencen mengikut formula berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun (360 bulan) bagi semua pesara dan penerima pencen berkuat kuasa 1 Januari depan.

"Buat masa ini tempoh maksimum hanyalah 25 tahun (300 bulan) dan penambahan ini bagi menyahut seruan golongan pesara yang meminta supaya tempoh perkhidmatan sebenar semasa mereka berkhidmat diambil kira dalam pengiraan pencen.

"Dasar ini juga akan merangkumi pesara dan penerima pencen yang telah bersara sebelum tarikh kuat kuasa (1 Januari 2009) dan melibatkan seramai 115,000 pesara dan penerima pencen serta peruntukan tambahan sebanyak RM718 juta," kata beliau dipetik Bernama.

Pindaan kepada Akta Pencen itu juga bertujuan memberi opsyen kepada kakitangan awam yang kini berada di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyertai skim pencen berkuatkuasa Januari depan.

"Tarikh bagi pemberian opsyen semula untuk memilih skim pencen ialah 1 Januari 2009, dengan tempoh opsyen selama sebulan dan muktamad pada 1 Februari 2009," katanya.

Beliau berkata, dasar baru pemberian semula opsyen ini belum dapat dianggarkan implikasi kosnya kerana ia bergantung kepada jumlah anggota yang memilih skim pencen.

Nazri berkata, bagi membiayai pelaksanaan dasar-dasar baru itu, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan akan bertambah hampir RM1 bilion untuk 2009 sahaja.

Tiada ulasan: