Rabu, 17 Disember 2008

Radio guna bahasa pasar: Orang ramai diminta buat aduan

MYMETRO


KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya terdapat mana-mana stesen radio di negara ini menggunakan bahasa pasar dalam sistem penyampaian mereka, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Joseph Salang Gandum berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang aduan dilaporkan dalam usaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai medium perantaraan di kalangan pendengar radio.

“Orang ramai dialu-alukan membuat aduan kepada pihak kementerian atau SKMM sekiranya terdapat stesen radio yang tidak mengunakan bahasa kebangsaan sebaliknya lebih cenderung menggunakan bahasa rojak atau pasar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wira Syed Ali AlHabshee pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Gandum berkata kementerian sentiasa memantau keadaan tersebut dari semasa ke semasa serta menegur segelintir stesen radio yang gemar menggunakan bahasa pasar tersebut.

“Kita ada menegur, bagaimanapun setakat ini tiada tindakan tegas diambil terhadap stesen radio. Kementerian sentiasa memantau keadaan ini agar bahasa kebangsaan tidak dipinggirkan dalam penyampaian maklumat kepada pendengar, “ katanya. - Bernama

Tiada ulasan: