Mohd Syamil Azhar
LENGGONG - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin lima negeri yang diperintah Pakatan Rakyat akan membuktikan prestasi yang lebih baik selepas menunjukkan kecemerlangannya selama sembilan bulan bermula pilihan raya 8 Mac lalu.
Katanya, selepas sembilan bulan berlangsung, bloger-bloger, ahli-ahli akademik dan golongan intelek mengakui pemerintahan bagi lima negeri Pakatan Rakyat paling baik berbanding negeri-negeri yang diperintah Barisan Nasional.
Malah, katanya diakui pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan jauh lebih baik berbanding semasa dikuasai Barisan Nasional (BN) dulu.
"Bila kita dapat perintah lima negeri, walaupun kita buat sekadar yang termampu, tetapi prestasinya jauh lebih baik dengan apa yang dilakukan BN sebelum ini.
"Ini diakui para bloger, ahli-ahli akademik dan golongan intelek," katanya ketika berceramah di Padang Majlis Daerah Lenggong di sini baru-baru ini.
Turut menyampaikan ceramah di depan lebih 2,000 pendengar itu ialah Wakil kerajaan negeri Perak yang juga Exco Dewan Pemuda PAS (DPP) negeri, Mohd Tee Wai Tiang Abdullah dan Ketua DPP Perak, Ustaz Mohd Nor Azli Musa.
Hadir sama Yang diPertua PAS Kawasan Lenggong yang juga Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering, Ustaz Shukri Ahmad, Penyelia DUN Kota Tampan, Haji Hamzah Mat Zain dan pimpinan DAP Lenggong.
Mohamad berkata, walaupun pelbagai pembaharuan bertepatan dengan konsep 'Negeri Berkebajikan' dilaksanakan oleh kerajaan lima negeri berkenaan, masih banyak perubahan yang perlu dilakukan.
Katanya, rakyat sentiasa menunggu pembaharuan-pembaharuan seterusnya yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan semua itu perlu dilaksanakan oleh semua peringkat pimpinan lima negeri terbabit.
Menyentuh mengenai keadaan kucar-kacir dalam BN serta pemilihan kepimpinan dalam Umno sekarang ini, beliau mengingatkan pimpinan Pakatan Rakyat, khususnya PAS di seluruh negara supaya tidak bergantung kepada kelemahan orang lain.
Sebaliknya, beliau bimbang sekiranya Umno yang menjadi tonggak kepada BN, yang sekali lagi menggunakan isu perkauman sebagai taktik mengatasi kelemahannya akan pulih semula selepas ini.
"Saya takut mereka akan pulih semula, oleh itu isu perkauman yang mereka mainkan sekarang ini jangan sampai sekali lagi memerangkap kita," katanya yang turut menjadi mangsa Operasi Lalang akibat mainan isu perkauman oleh Umno dan komponen BN lain pada 1987 lalu.
Mohamad berkata, sebaliknya Pakatan Rakyat dan PAS khususnya perlu mainkan isu yang akan terus menjadi relevan pada masa akan datang, iaitu isu rasuah, pembaziran, penyalahgunaan kuasa dan hak asasi manusia.
Isu ISA, katanya adalah antara isu yang semakin hangat diperkatakan termasuk oleh beberapa komponen BN sendiri, malah masyarakat Cina paling marah dengan akta zalim itu.
Beliau seterusnya menyeru rakyat menyertai perhimpunan paling aman yang akan diadakan pada Mac tahun depan dalam usaha mendesak kerajaan BN menghapuskan terus ISA. - mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan