UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman dijadual memberikan keterangan untuk membela diri masing-masing atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, mulai esok.
Sekiranya semua yang dirancang pihak pembelaan berjalan lancar, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dijangka mula memberikan keterangan secara bersumpah di kotak saksi, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin.
Setelah Azilah selesai memberikan pembelaan, Koperal Sirul Azhar Umar, 36, pula akan mengemukakan versi keterangannya.
Namun, jika para peguam kesempitan waktu dan tidak berkesempatan menyelesaikan sesi temu bual mereka dengan saksi, kemungkinan besar mereka akan memohon penangguhan.
Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Azilah dari Unit Selam Tempur mula berkhidmat dalam UTK sejak 8 Januari 2003. Dia juga mempunyai kepakaran dalam body-guarding atau teknik mengawal orang kenamaan penting sama ada secara berjalan kaki mahupun berkenderaan.
Dia yang masih bujang diwakili dua peguam bela, Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar.
Sirul Azhar yang mula berkhidmat dengan UTK sejak 23 Januari 1996 pula bertugas dalam Unit Komunikasi. Dia kemudian bertugas mengiringi VVIP (orang kenamaan penting) di luar negara.
Duda anak dua itu yang diwakili tiga peguam bela, Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.
Pada 31 Oktober lalu, Hakim Datuk Zaki Md. Yasin memerintahkan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda (dahulu tertuduh ketiga) dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.
Abdul Razak, 48, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC).
Hakim berkenaan juga menerima kandungan afidavit yang diikrarkan Abdul Razak yang telah dikemukakan sebagai bukti pada perbicaraan.
Kes pendakwaan memakan masa selama 151 hari. Seramai 84 saksi telah dipanggil memberi keterangan. 40 daripadanya saksi polis.
Sementara itu, pihak pembelaan iaitu peguam Kamarul Hisham dalam pembelaan terhadap Sirul Azhar, dijangka memanggil bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.
Selain itu, pembelaan juga bercadang memanggil semula penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam sebagai saksi tetapi tidak pasti sama ada boleh berbuat demikian kerana tidak tahu di mana lelaki itu kini berada. Balasubramaniam menghilangkan diri selepas menarik balik akuan bersumpah yang diikrarkannya berhubung kes bunuh Altantuya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan