Rabu, 19 November 2008

Kes jenayah menjadi-jadi,UKM digesa tingkatkan keselamatan

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Kejadian kes kecurian semakin menjadi-jadi di dalam kampus. Terbaru, Harakahdaily dimaklumkan ianya berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Kejadian tersebut dilaporkan akhbar Kosmo! yang menyiarkan berita mengenai kehilangan komputer riba milik seorang pelajar selepas biliknya di Kolej Keris Mas dipecah masuk semasa beliau sedang berada di bilik air.

Sebelum ini, banyak kes jenayah yang dilaporkan berlaku di kampus berkenaan termasuklah rogol, orang minyak, kecurian motorsikal dan yang terbaru, kecurian komputer riba.

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily menyifatkan kejadian jenayah lebih kepada kawalan keselamatan yang longgar di samping ciri fizikal kolej kediaman yang memudahkan penjenayah sama ada orang luar atau mahasiswa sendiri, untuk melakukan jenayah tersebut.

Menurut Setiausaha Kerja GMUKM, Hishamuddin Abdullah, isu keselamatan harta dan diri mahasiswa perlu ditangani segera memandangkan mahasiswa kini sedang bergelut dengan musim peperiksaan akhir semester.

Jelasnya, GMUKM menuntut pengembalian semula komputer riba milik seorang mahasiswa yang dirampas pada 4 Mac lalu telah berjaya walaupun diugut dan dipermainkan oleh pihak pentadbiran universiti iaitu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sendiri.

Katanya, kes yang sama juga sudah banyak kes ini dilaporkan tetapi tiada tindakan penyelesaian diambil oleh pihak berkuasa.

GMUKM katanya, mencadangkan agar kawalan keselamatan dipertingkatkan lagi dan satu pos polis bergerak perlu diwujudkan di kampus bagi membantu pengawasan terhadap penjenayah di samping dapat memberi latihan secara tidak formal kepada kadet SUKSIS yang bersifat ala polis.

"Sepatutnya isu keselamatan mahasiswa perlu menjadi fokus utama pihak keselamatan dan bukannya isu gerakan mahasiswa kerana ia melibatkan tanggungjawab manakala persatuan mahasiswa yang dipegang oleh pihak Aspirasi sekarang ini perlu mengambil inisiatif dengan memberikan pendidikan pencegahan jenayah kepada mahasiswa", ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Mahasiswa UKM.

"Kanun Jenayah kita telah memberi hukuman tegas ke atas jenayah curi ini tetapi malangnya, kerana ketiadaan kesedaran moral dan undang-undang, perlakuan ini dianggap biasa dan pejenayah ini lebih berani untuk mencuri hatta di siang hari,"katanya lagi.

Tambahnya lagi, kebajikan mahasiswa yang menjadi mangsa perlu dijaga oleh pihak berautoriti dalam bentuk pampasan mahupun kaunseling agar mereka terus bersemangat untuk belajar di kampus ini.

"Kesan daripada senario ini adalah pelajar siswi mengambil langkah menyewa rumah di luar kampus yang mana tindakan tersebut hakikatnya lebih merbahaya dan berisiko tinggi. "Apa yang perlu diperbetulkan di sini ialah sistem penyampaian aduan kolej yang tidak berkesan dan korupsi, bukannya mengambil langkah drastik keluar dari kolej dan menyewa di luar kampus,"tegasnya. - mks._

Tiada ulasan: