BERNAMA
KANGAR: Pendidikan tinggi, kerjaya hebat dan pendapatan besar adalah punca utama menyebabkan golongan muda di negara ini memilih untuk berkahwin lewat tanpa menyedari perbuatan itu memberi kesan terhadap sistem demografi dan kesihatan.
Pemangku Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Hairil Fadly Mat Akir berkata, fenomena kahwin lewat adalah antara isu berkaitan golongan penduduk muda yang sedang diberi tumpuan.
Berucap merasmikan program sambutan hari penduduk sedunia 2008 peringkat negeri Perlis yang bertemakan "Memperbaharui Komitmen" di Pauh dekat sini hari ini, beliau berkata, isu-isu berkaitan perlu dikupas untuk diketengahkan kepada penggubal dasar, para perancang dan pengurus program untuk diambil kira dalam perancangan pembangunan negara.
"Isu kependudukan ini amat penting difahami kerana mereka turut sama menjayakan usaha perancangan dan penggubalan dasar demi meningkatkan kesejahteraan penduduk dan masyarakat di negara ini," katanya.
Hairil Fadly berharap setiap agensi pelaksana sentiasa peka kepada kebolehan dan keperluan penduduk muda dalam proses perancangan dasar dan program.
"Dasar dan program yang sedia ada perlu diteliti supaya lebih peka dan mesra remaja, contohnya kerajaan telah bersetuju untuk memantapkan lagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menerusi modul yang akan menitikberatkan kesihatan reproduktif dan seksualiti remaja, kesaksamaan gender dan nilainilai kekeluargaan bermula Januari ini," katanya.
Forum sehari itu berlangsung d Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh dihadiri lebih 250 peserta yang terdiri daripada para pegawai kanan kerajaan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan