Tanah runtuh di kem PLKN Sri Mutiara: JLKN buat pemeriksaan
BERNAMA
BALIK PULAU: Pasukan pemantau dari Jabatan Latihan Khidmat Negara hari ini membuat pemeriksaan di Kem Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Mutiara di sini bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh di situ Selasa lepas.
Pasukan empat orang itu, yang dilihat memasuki kawasan itu menaiki kenderaan pacuan empat roda pada 10 pagi dan melakukan pemeriksaan di kawasan tanah runtuh, enggan memberi sebarang kenyataan kepada media yang menunggu di luar kem itu.
Wartawan tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan masuk ke kem itu, malah pihak media diminta berada jauh dari pintu pagar kem itu.
Ibu Pejabat JLKN ketika dihubungi mengesahkan menghantar pasukan pemantau ke kem itu untuk membuat pemeriksaan dan kajian secara terperinci di kawasan itu.
Tinjaun Bernama di kawasan yang runtuh itu mendapati bangunan di situ kelihatan seperti 'tergantung'.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, penduduk di sekitar kem itu digemparkan dengan kejadian timbunan tanah dalam kawasan kem itu yang runtuh sehingga hampir memusnahkan beberapa asrama pelatih di situ.
Tanah runtuh itu turut menimbus beberapa kebun di sekitar kawasan itu.
Ho Tang Hock, 62, seorang penduduk di kawasan itu dan pemilik kebun yang terlibat dengan kejadian itu, berkata pengusaha kem itu tidak melawat atau bertanya keadaan mereka di situ.
"Cuma ada seorang lelaki yang mengaku dia anak kepada pengusaha kem itu telefon. Dia minta kami pindah dari sini kerana kawasan itu tidak selamat," katanya.
Ho, yang tinggal di kawasan itu sejak dilahirkan, belum membuat sebarang keputusan dan masih menunggu pihak berkenaan datang untuk berunding berhubung perkara itu.
Semalam Yang Dipertua Majlis Perbandaraan Pulau Pinang Datuk Zainal Rahim Seman berkata kem yang beroperasi sejak tiga tahun lepas itu dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Rabu lepas, Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata kem itu akan ditutup selagi ia tidak disahkan selamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan