Jumaat, 12 September 2008

Pengamal media diberi surat peringatan patuhi garis panduan ditetapkan KDN
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengeluarkan surat peringatan kepada semua pengamal media di negara ini supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata KDN mengeluarkan peringatan itu sejurus selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menarik balik sekatan terhadap beberapa laman web termasuk "Malaysia Today" hari ini.

Beliau berkata apa yang penting ialah untuk melahirkan kebebasan dan keterbukaan yang mempunyai sifat bertanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia bagi menjamin keamanan serta ketenteraman awam untuk mengelak golongan yang boleh menghasut, menghina dan melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.

"Jadi ini adalah satu amaran atau satu ingatan dan setelah itu dilaksanakan. Saya berharap ia menimbulkan keinsafan dan kesedaran kerana kuasa media sama ada blog, cetak atau elektronik untuk mempengaruhi masyarakat secara keseluruhan adalah amat besar dan mendalam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di sini malam ini.

Beliau berkata tindakan menyekat beberapa laman web dahulunya bukanlah bertujuan untuk menghukum, sebaliknya hanya bersikap berhati-hati kerana ia dikhuatiri boleh membawa kepada ketegangan dan suasana yang menjejaskan ketenteraman awam.

Syed Hamid berkata, KDN juga telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada beberapa syarikat media yang lebih menjurus untuk menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

"Mana-mana media yang kita anggap telah melanggar syarat-syarat dan garis panduan itu kita memberikan tunjuk sebab dan tunjuk sebab itu mesti dijawab dalam tempoh seminggu.

"Jangan pula dengan surat tunjuk sebab itu, mereka menganggap kita menyekat sesiapa. Tetapi kita mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat secara keseluruhan untuk menentukan tidak timbul konflik, tidak timbul rasa kemarahan disebabkan penulisan kita mengenai kaum, agama atau pun budaya," katanya.

Hari ini, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor berkata langkah menarik balik sekatan itu diputuskan Kabinet semalam bertujuan untuk terus menggalakkan rakyat negara ini menggunakan kemudahan internet atau lawan web sebagai saluran penyebaran maklumat.

Mengikut rekod SKMM, sebanyak 126 laman web disekat sejak Januari sehingga kini kerana melanggar pelbagai peraturan termasuk menghina agama dan menipu pengguna.

Tiada ulasan: