Kementerian gagal, apabila 9.56 juta peralatan mengajar hilang
Nyza Ayob
KUALA LUMPUR - Laporan Audit Negara 2007 yang menunjukkan berlaku kehilangan sebanyak 9.56 juta kehilangan peralatan program pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PSMBI) cukup memeranjatkan dan memalukan bagi pelajar-pelajar yang diperkenalkan dengan sistem pengajaran tersebut.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf menegaskan melalui laporan tersebut, Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga mendapati terdapat kecurigaan dalam jual beli peralatan tersebut dan tidak menolak kemungkinan berlaku satu penyelewengan.
Katanya, kehilangan peralatan bagi program pengajaran PSMBI itu juga menunjukkan kegagalan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam pelaksanaan pembelajaran tersebut.
"Sekarang ini masalah semakin teruk dengan laporan audit ini. Sudahlah kegagalan pengajaran tersebut, ditambah pula dengan kehilangan peralatan pembelajaran tersebut. Apa sudah jadi di Malaysia ini? Ini cukup memalukan.
"Sebab itu PAS menegaskan agar pengajaran dilakukan dalam bahasa ibunda. Jika hendak memperkemaskan pembelajaran bahasa Inggeris ialah dengan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris terlebih dahulu.Masih ada ruang untuk kerajaan berpatah balik dan membatalkan PSMBI ini. Dengan kehilangan peralatan ini, bagaimana program tersebut dapat dilaksana?,"katanya sewaktu menghubungi Harakahdaily baru-baru ini.
Malah katanya, satu kajian terperinci yang dilakukan oleh ahli akademik di sebuah universiti tempatan menyatakan kelemahan guru-guru yang mengajar PSMBI serta memakan masa hampir 20 tahun untuk memperbaiki kelemahan tersebut.
Tambahnya, penemuan tersebut adalah serius dan kenyataan bahawa pelajar-pelajar mencapai keputusan yang cemerlang merupakan satu pembohongan dan merupakan kegagalan pengajaran PSMBI ini. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan