Isnin, 12 Julai 2021

SPRM tahan Datuk, hadapi 160 pertuduhan babitkan lebih RM16 juta


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang menjadi pengerusi sebuah syarikat koperasi hartanah di Pulau Pinang keran disyaki terbabit menerima rasuah berjumlah lebih RM16 juta.

Bernama memetik sumber memberitahu suspek dipercayai menerima suapan daripada seorang pengarah syarikat pemaju bergelar Tan Sri, melalui syarikatnya sebagai balasan melantik syarikat pemaju tersebut untuk projek usahasama yang dijalankan di tanah-tanah milik koperasi bagi tujuan pembangunan.

Sumber itu berkata suspek berdepan lebih 160 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001).

“Penahanan Datuk itu adalah berdasarkan siasatan dan operasi yang dijalankan oleh SPRM pada Ogos tahun lalu,” katanya.

Katanya, suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok atas kesalahan menerima rasuah berupa wang dan barangan berharga dianggarkan berjumlah lebih RM16 juta.

Difahamkan, dia juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai ini.

Ketika dihubungi, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Lim Bee Kean mengesahkan tangkapan berkenaan.

Tiada ulasan: