Isnin, 12 Julai 2021

Seorang lagi direman berkait rasuah projek air Kelantan

Lelaki terbabit yang juga pemilik syarikat perundingan penyelenggaraan air 
ditahan malam tadi selepas hadir ke pejabat SPRM Kota Bharu untuk memberi 
keterangan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi individu berkaitan rasuah membabitkan projek skim bekalan air kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bernilai lebih RM851,000.

Individu terbabit yang juga lelaki berusia 55 tahun adalah pemilik sebuah syarikat perunding penyelenggaraan air.

Perintah reman terhadapnya dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Nor Faezah Abdullah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, menurut laporan Utusan Malaysia.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki itu ditahan pada 8.10 malam tadi selepas hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan lanjut berhubung kes itu.

“Dia ditahan bagi membantu siasatan berhubung projek skim bekalan air AKSB di sebuah kawasan di negeri ini yang bernilai RM851,232.60.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya yang enggan mengulas lanjut ketika dihubungi di Kota Bharu.

Media sebelum ini melaporkan, tiga individu termasuk bekas pengurus besar AKSB dan pegawai anak syarikat kerajaan negeri Kelantan direman tiga hari selepas dipercayai terlibat dalam kes ra­suah membabitkan pelbagai projek bernilai lebih RM27 juta.

Bekas pengurus besar AKSB berusia 60 tahun serta pegawai AKSB berusia 39 tahun dan seorang pengarah projek sebuah syarikat berusia 42 tahun ditahan secara berasingan di pejabat SPRM Kelantan pukul 4.25 petang dan 6.30 petang, Khamis lalu.

Ketiga-tiga suspek dipercayai menerima wang tersebut daripada beberapa syarikat untuk menjalankan projek AKSB.

Sementara itu, Menteri Besar Ahmad Yakob dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri memegang prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”, namun pihaknya menerusi AKSB akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan kes berkenaan.

Tiada ulasan: