Sabtu, 24 Julai 2021

Rasuah projek perumahan: Seorang lagi pegawai daerah, juruukur ditahan

Pegawai daerah dan juruukur itu direman selama lima hari bermula hari ini 
selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim, membenarkan permohonan reman 
oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

PUTRAJAYA: Dua lagi individu iaitu seorang pegawai daerah dan seorang juruukur bahan ditahan hari ini, susulan penahanan tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor dan seorang kontraktor semalam disyaki menerima rasuah daripada kontraktor.

Kedua-dua individu tersebut direman selama lima hari bermula hari ini selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim, membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu terlibat telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9 dan 10 malam tadi, ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, individu terbabit dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang merupakan sindiket kartel projek, bagi membolot projek-projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012.

“Dalam tempoh empat tahun di sebuah daerah sahaja, kontraktor terlibat boleh memperoleh pelbagai projek bernilai anggaran RM20 juta. Difahamkan terdapat kira-kira 70 syarikat yang digunakan untuk membolot projek-projek tersebut, termasuk kira-kira 16 syarikat milik keluarga mereka dan selebihnya merupakan kroni atau proksi,” kata sumber SPRM itu.

Sumber itu turut berkata, kontraktor ni akan menjaga dan berdampingan dengan pegawai-pegawai terlibat seperti menaja bermain golf, percutian ke luar negara dengan membiayai perbelanjaan sekeluarga.

Katanya, pegawai daerah yang direman hari ini dipercayai telah menerima suapan bernilai anggaran kira-kira RM125,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan.

“Suapan itu adalah sebagai balasan untuk membantu syarikat-syarikat milik kontraktor mendapatkan kerja-kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan dan lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di kawasan sekitar Selangor. Keseluruhan nilai projek-projek tersebut berjumlah kira-kira RM3 juta,” katanya.

Sumber SPRM itu juga berkata, juruukur bahan itu pula dipercayai telah memperoleh suapan sebanyak satu peratus daripada nilai projek, selain wang tunai berjumlah anggaran RM90,000 dan sebuah basikal bernilai RM3,000.

Katanya individu tersebut dipercayai telah membocorkan maklumat-maklumat berkaitan tender kepada kontraktor, bagi kerja-kerja pembersihan kawasan dan penyelenggaraan di sebuah daerah lain pula di Selangor.

Semalam, media melaporkan SPRM menahan tiga individu termasuk dua pegawai daerah di Selangor kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Menurut sumber, kedua-dua mereka yang juga bekas YDP Majlis Perbandaran di Selangor, masing-masing berusia 47 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kelmarin.

Tiada ulasan: