Selasa, 13 Julai 2021

PPN akan pimpin Malaysia keluar dari pandemik, kata Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia akan dapat mengatasi wabak 
Covid-19 seperti yang dilakukan dalam banyak krisis terdahulu. (Gambar 
Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin bahawa strategi yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan membantu memimpin Malaysia keluar daripada krisis Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, setakat ini tiada satu pun penyelesaian yang sempurna untuk membolehkan Malaysia keluar daripada tekanan ini dan menghalang pelaksanaan kawalan pergerakan untuk selama-lamanya.

“Saya sangat yakin Malaysia akan dapat mengatasinya seperti yang dilakukan dalam banyak krisis terdahulu, menerusi daya tahan kita yang terbukti dan semangat kerjasama rakyat Malaysia yang waja,” katanya dalam artikel diterbitkan dalam akhbar harian Singapura, The Straits Times, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, ribuan rakyat menjadi sukarelawan di pusat-pusat vaksinasi dan program sokongan sosial yang diwujudkan oleh kerajaan.

“Disertai dengan usaha untuk memperhalusi pengurusan kes Covid-19 semasa, meningkatkan vaksinasi dan menyokong golongan rentan, ia jelas menunjukkan ini bukanlah isyarat bahawa negara ke arah taraf negara yang gagal, sebaliknya sebagai negara yang bertekad untuk memerangi pandemik ini.

“Kegagalan bukanlah satu pilihan. Insya-Allah, Malaysia akan menangani krisis ini bersama-sama dan keadaan yang lebih baik akan wujud pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, cabaran dihadapi Malaysia pada masa ini mendorong penilaian yang tidak adil bahawa Malaysia bakal “menjadi sebuah negara yang gagal”.

Bagaimanapun beliau berkata, tanggapan itu ada kelemahannya.

“Mendakwa Malaysia dalam keadaan berisiko untuk menjadi negara yang gagal menidakkan kejayaan kerajaan dalam meningkatkan kadar vaksinasinya.

“Setakat ini, 3.1 juta individu atau lebih 10% daripada penduduk dewasa di Malaysia telah menerima vaksin lengkap,” katanya sambil memaklumkan bahawa Penjejak Vaksin Covid-19 Bloomberg, jelas menunjukkan bahawa kadar pemvaksinan adalah semakin baik.

“Kini ia akan mengambil masa lima bulan untuk mengimunkan 75% daripada penduduk berbanding anggaran 4.5 tahun yang dibuat pada April,” menurut Tengku Zafrul.

Memetik laman web World In Data, beliau berkata, setakat 10 Julai 2021, Malaysia menjadi antara negara utama di dunia yang memberikan vaksinasi harian melebihi China, Britain, Perancis dan Jerman.

“Kini, bekalan yang mencukupi akhirnya diterima. Kita telah berusaha sebaik mungkin dan bekerjasama dengan kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat untuk pemvaksinan secara besar-besaran,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, PPN yang diumumkan baru-baru ini adalah pelan dinamik yang bergantung kepada data masa nyata untuk mengesan nilai ambang penting dalam memastikan jalan keluar secara sistematik daripada pandemik ini.

Sehingga kini beliau berkata, tujuh negeri telah memenuhi tiga petunjuk utama yang membolehkan negeri berkenaan beralih kepada Fasa Kedua PPN yang melibatkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

Indikatornya merangkumi tahap penularan Covid-19 dalam masyarakat, tindak balas sistem penjagaan kesihatan awam dan kadar vaksinasi ke atas populasi.

“Melihat kepada varian Delta yang lebih agresif yang merebak di Asia Tenggara, cabaran untuk menangani pandemik ini sudah menjadi lebih kritikal. Oleh itu, kami terpaksa menggunakan strategi yang lebih agresif seperti meningkatkan kawalan pergerakan di kawasan panas (hotspot) dan ujian yang disasarkan,” katanya.

Mengulas mengenai gerakan “bendera putih” yang mendapat kritikan segelintir pihak yang mendakwa ia adalah bukti kegagalan negara ini, beliau berkata, tuduhan itu terlepas fakta yang paling penting, iaitu demokrasi masih hidup di Malaysia selain tidak mengambil kira psiko sosiopolitik dan konteks sejarah masyarakat di Malaysia.

“Saya yakin ramai saintis sosial dan politik ‘bingung’ mengenai bagaimana satu kempen yang mencerminkan keprihatinan masyarakat untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan boleh dikaitkan dengan keadaan taraf negara yang gagal,” katanya.

Malah Tengku Zafrul berkata, walaupun dibebani hutang legasi, masalah struktur sosioekonomi dan ketidakpastian politik, kerajaan tetap mengeluarkan RM38 bilion dalam bentuk bantuan langsung serta subsidi pada tahun lepas, manakala pada 2021, kerajaan memperuntukkan RM45 bilion dan baki sebanyak RM28 bilion masih sedang diagihkan.

Pembayaran tersebut telah membantu rakyat Malaysia yang bekerja serta golongan kelas menengah, menyokong 330,000 majikan dan menyelamatkan lebih 2.7 juta pekerjaan di negara ini, manakala pengangguran dikurangkan daripada 5.3% pada Mei 2020 kepada 4.5% menjelang Mei tahun ini.

“Adakah semua fakta ini menggambarkan keadaan ‘negara yang gagal’?” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada rakyat yang memerlukan, termasuk Program Bakul Makanan bernilai RM100 juta baru-baru ini.

Beliau berkata, pada 1 Julai lepas, kerajaan sekali lagi melancarkan program bantuan makanan sebanyak RM100 juta untuk kira-kira 300,000 penduduk miskin bandar melalui e-tunai, yang membolehkan mereka membeli barang keperluan di pasar raya serta kedai makanan yang menjadi rakan kongsi di seluruh negara.

“Walaupun terdapat banyak kemungkinan dan sesuatu yang tidak diketahui termasuk landskap politik yang mencabar sejak awal pandemik, kerajaan telah melakukan yang terbaik dan akan terus melindungi kehidupan serta mata pencarian, sama seperti yang dibuat oleh negara maju yang menghadapi krisis yang sama,” katanya.

Tiada ulasan: