Jumaat, 30 Julai 2021

PM, Takiyuddin perlu mohon ampun Yang di-Pertuan Agong

 Oleh SAYED HESHAM IDRIS

SAARANI MOHAMAD

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memohon ampun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, Muhyiddin dan Takiyuddin juga perlu mengambil tanggungjawab di atas segala kekhilafan yang berlaku kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen.

“Dalam hubungan ini, Perdana Menteri dan Takiyuddin perlu berjiwa besar untuk memohon keampunan Seri Paduka Baginda serta mengambil tanggungjawab ke atas segala kekhilafan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, BN Perak menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong hari ini yang menzahirkan perasaan amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan-ordinan Darurat.

Menurutnya, adalah amat malang apabila keprihatinan Baginda dalam soal menangani krisis Covid-19 yang mencengkam kehidupan rakyat bukan sahaja dikesampingkan, malah tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong jelas mencabuli prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“BN Perak bimbang perkembangan ini bukan sahaja akan memberi implikasi besar terhadap kedaulatan undang-undang, malah dikhuatiri akan menjerumuskan negara ke kancah krisis Perlembagaan yang sepatutnya dielakkan dalam keadaan negara sedang bergelut menghadapi krisis kesihatan susulan pandemik Covid-19.

“Menyedari episod hitam yang berlaku hari ini berpunca daripada kegoyahan dan ketidakstabilan politik, maka perlu ada kemahuan politik dari semua pihak untuk mengembalikan kredibiliti Dewan Rakyat dalam menentukan keabsahan sokongan dan kedudukan kerajaan yang ada hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: