Jumaat, 23 Julai 2021

Petisyen tolak cadangan TH bawah seliaan BNM kumpul lebih 13,500 tandatangan

 Siti Hafidah

PEMBELA desak cadangan ditolak demi kepentingan umat Islam

BANGI – Setakat jam 5 petang tadi, petisyen atas talian ‘Menolak cadangan meletakkan Lembaga Tabung Haji di bawah seliaan Bank Negara Malaysia’ berjaya mengumpul 13,564 tandatangan.

Petisyen yang dilancarkan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) itu bertujuan mendesak kerajaan menolak cadangan menyerahkan seliaan TH kepada BNM bagi menjaga kepentingan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia.

Menerusi satu kenyataan, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, dana TH bukanlah dana kerajaan, malah agensi itu adalah benteng umat Islam dan tidak bermatlamat seperti institusi perbankan.

Melalui petisyen yang dilancarkan juga, PEMBELA menimbulkan beberapa persoalan yang menuntut penjelasan iaitu:

(i) Tidak ada penjelasan terhadap frasa-frasa dari Akta Tabung Haji 1995 yang akan dipinda seperti yang dinyatakan dalam kenyataan Kementerian Kewangan. Ini membimbangkan rakyat kerana adakah nanti pindaan ini akan menjejaskan kepentingan lebih 9 juta pendeposit itu?;

(ii) TH adalah sebuah institusi yang ditubuhkan untuk bukan sahaja sebagai tempat orang Melayu menyimpan wang mereka tetapi juga satu institusi yang membina kekuatan ekonomi orang Melayu. Dengan meletakkan TH di bawah BNM, adakah fungsi ini dapat dimainkan atau apakah ianya akan dikekang disebabkan oleh peraturan yang ada di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013?;

(iii) Umum mengetahui bahawa kakitangan BNM tidak semuanya orang Islam. Adakah akhirnya sebuah institusi Islam akan diurus tadbir oleh orang bukan Islam? Apakah kepentingan umat Islam dapat difahami dan dijamin jika ianya ditadbir oleh orang bukan Islam?;

(iv) Status TH adalah lebih besar dari hanya sebagai sebuah institusi kewangan seperti yang dijelaskan dalam perkara (ii) di atas. Apakah dengan menyenaraikan TH sebagai ‘sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan’ akan merendahkan statusnya menjadi seperti sekadar sebuah bank? Walhal, TH sudahpun memiliki Bank Islam sebagai sebuah syarikat subsidiari?;

(v) Dengan menukarkan penyeliaan kepada BNM adakah bermaksud bahawa pengurusan TH sudah tidak lagi mampu untuk mengurustadbir TH secara telus dan berintegriti? Jika benar, kenapa tidak diganti anggota-anggota Lembaga Pengara yang ada dan melantik mereka yang benar-benar layak? Jika campur tangan politik menjadi isu, maka apakah tidak boleh diletakkan syarat di dalam Akta LTH bagi melarang penglibatan orang politik? Ertinya, ada langkah-langkah alternatif yang boleh dilakukan selain dari menyerahkan TH kepada BNM;

(vi) Apakah dengan penyeliaan oleh BNM nanti, TH masih bebas untuk membuat pelaburan di dalam pelbagai sektor seperti hartanah, pertanian, ekuiti dan sebagainya demi memperkukuhkan ekonomi umat Islam dan bangsa Melayu, atau apakah ianya akan disekat oleh BNM kerana pelbagai frasa-frasa yang terkandung di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 itu?

Haji Aminuddin berkata, berdasarkan senario berkenaan, PEMBELA bimbang langkah itu akan memberikan impak negatif kepada nasib pendeposit.

“Oleh itu, PEMBELA mendesak agar kerajaan untuk menolak cadangan menyerahkan seliaan LTH kepada BNM bagi menjaga kepentingan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia ini,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mengumumkan TH akan dikawal selia oleh BNM.

Kementerian dalam kenyataan berkata, Jemaah Menteri bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

Tiada ulasan: