Khamis, 29 Julai 2021

Penyampaian Hishammuddin baik, beri fokus juga masalah sosial

 UTUSAN ONLINE

Penyampaian pertama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung maklumat operasi keselamatan dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dilihat sangat baik berkaitan penguatkuasaan undang-undang.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor (Unisel), Prof. Dr. Zaidi Hajazi berkata, maklumat yang ringkas dan jelas sangat penting bagi mengelakkan rakyat keliru dan mula mendengar dari pelbagai pihak yang tidak berautoriti.

Beliau berkata, apa yang paling baik apabila disertakan jadual teratur kecuali pengumuman yang diluar jangkaan.

“Pada masa sama, tindakan tegas mesti diambil kepada pihak yang menyebar maklumat palsu dan mengelirukan.

“Maklumat yang disampaikan hendaklah dapat memberi pencerahan di samping menyelesaikan masalah rakyat. Ini sangat penting dalam proses penyelesaian konflik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zaidi berpendapat, adalah lebih baik maklumat-maklumat dari kementerian lain dapat dikoordinasikan bersama dalam pengumuman harian sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

Beliau menjelaskan, ini terutama melibatkan isu masalah sosial seperti sistem sokongan sosial, aspek pencegahan dan pemulihan.

Hal ini termasuk, katanya, pelbagai lagi aspek-aspek lain yang dapat mengurangkan beban mental rakyat.

“Apabila ingin menyelesaikan masalah sosial, ada aspek lain yang juga perlu diberi perhatian. Aspek sistem sokongan sosial seperti kaedah dan tempat rakyat mendapat pertolongan juga perlu diberi keutamaan.

“Contohnya, makluman berhubung bantuan, talian hayat atau bantuan ahli Parlimen juga boleh mengurangkan perasaan marah dan panik rakyat,” katanya.

Semalam, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Luar Negeri yang baru dilantik bertanggungjawab dalam Kluster Keselamatan pada 7 Julai lalu berjanji akan meneruskan penugasan diberikan dengan sebaiknya.

Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas tugas itu dalam menyampaikan makluman keselamatan sejak 20 Mac tahun lalu sebelum dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, beliau akan menyelaras dan mengeluarkan kenyataan harian yang berkaitan Task Force Operasi Pematuhan termasuk laporan kes penguatkuasaan undang-undang pasukan berkenaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dari seluruh negara.

Selain itu, turut dilaporkan mengenai pematuhan prosedur operasi standard, kawalan sempadan negara dan perkara lain daripada setiap agensi yang terlibat bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung situasi semasa keselamatan khususnya sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Pelantikan Hishammuddin memimpin Kluster Keselamatan juga seumpama mengulangi peranan sebelum ini pernah dilantik sebagai Menteri Pertahanan antara 2013 hingga 2018 lalu.

Tiada ulasan: