Jumaat, 30 Julai 2021

Muhyiddin tak wajib letak jawatan hanya kerana kenyataan Agong

 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak wajib meletak jawatan Perdana Menteri hanya kerana kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang dilihat membelakangkan baginda.

Bagaimanapun keadaan boleh menjadi sebaliknya jika ada usul di Dewan Rakyat atau semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meletak jawatan, kata pengamal undang-undang Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Memetik kenyataannya kepada Utusan beliau berkata jika keadaan itu juga tidak berlaku maka perlu menunggu apa-apa proses pengundian di Dewan Rakyat untuk memastikan kerajaan tidak mendapat majoriti.

Beliau berkata, jika mana-mana daripada cara itu berlaku, maka menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri kehilangan majoriti, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan.

“Namun begitu, sebelum Perdana Menteri meletak jawatan, beliau boleh meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Memandangkan keadaan Covid-19 sekarang ini, mustahil Seri Paduka Baginda akan memperkenankan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Jadi Seri Paduka boleh melantik Perdana Menteri kesembilan Malaysia dalam kalangan mana-mana Ahli Parlimen yang baginda percaya akan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan yang lain tanpa perlu diadakan PRU-15 mengikut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairul berkata, prosedur untuk pelantikan dengan cara berkenaan boleh di buat baginda tanpa perlu Muhyiddin menghantar surat perletakan jawatan.

Tiada ulasan: