Ahad, 11 Julai 2021

COVID-19: Saringan bersasar 'buru' individu dijangkiti di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Kaedah saringan bersasar dilihat lebih berkesan untuk dijadikan sandaran bagi 'memburu' individu yang dijangkiti COVID-19 di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika menyuarakan pendirian itu, berkata saringan di Selangor dan Kuala Lumpur ketika gelombang kedua penularan virus itu sebelum ini menunjukkan kadar ujian positif (TPR) masing-masing sekitar 0.2 serta kurang satu peratus.

Beliau berkata, saringan membabitkan 97,000 hingga 100,000 populasi di Selangor pada Mei lalu pula merekodkan TPR sebanyak 0.7 peratus.

"Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa cakap di Kuala Lumpur, TPR yang direkodkan ialah kurang satu peratus.

"Jadi kita perlu lakukan saringan bersasar dengan menjangkakan di mana pembentukan kluster berlaku dan di 'kawasan panas'.

"Selepas itu, baru kita dapat kesan peningkatan kes COVID-19 dalam komuniti," katanya dalam program The Nation, bertajuk COVID-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita di Bernama TV, malam ini.

Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes susulan saringan aktif sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah perkara biasa.

Katanya, peningkatan sama direkodkan ketika gelombang kedua penularan COVID-19 pada tahun lalu, namun negara ketika ini mempunyai 'senjata' baharu.

"Mendepani gelombang ketiga sekarang kita ada vaksin, berbeza dengan situasi ketika gelombang pertama dan kedua dulu apabila negara hanya meletakkan sandaran kepada tindakan kesihatan awam.

"Tempoh dua minggu PKPD (di Lembah Klang) ini untuk beri ruang kepada Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan perkhidmatan hospital dan kapasiti tindakan kesihatan.

"Justeru, sekarang kita guna dua strategi, iaitu perlindungan luaran menerusi tindakan kesihatan awam dan pemberian vaksin bagi menyediakan perlindungan dalaman.

"Menerusi perlindungan diperoleh daripada suntikan imunisasi, kita sasarkan untuk akhirnya Malaysia dapat hidup bersama virus COVID-19," katanya.

Tiada ulasan: