Selasa, 13 Julai 2021

Covid-19: Banyak negara pertimbang beri dos vaksin tambahan

Oleh Adlinahani Binti Khalil
PETUGAS perubatan menyediakan jarum suntikan vaksin Sinovac untuk diberikan kepada kanak-kanak sekolah berusia 12 hingga 18 tahun di Surabaya, Indonesia. - AFP

JAKARTA: Beberapa negara di seluruh dunia ketika ini mempertimbangkan cadangan untuk memberikan dos ketiga vaksin Covid-19 sebagai langkah menguatkan sistem imunisasi golongan berisiko.

Cadangan itu mula ‘menjadi pilihan’ kebanyakan negara selepas kes jangkitan Covid-19 akibat penularan varian Delta semakin meningkat.

Ketika ini, rantau Asia Tenggara merupakan antara paling teruk terjejas akibat varian Delta.

Pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 sudah pun dilakukan di beberapa negara termasuk Turki, Rusia dan China sebelum ini.

Kini, Indonesia, Thailand dan Israel juga dalam perancangan untuk melakukan langkah yang sama.

Di Indonesia, gelombang jangkitan Covid-19 yang direkodkan semakin ‘parah’ hari demi hari, selain menyaksikan golongan petugas perubatan turut terjejas teruk.

Dianggarkan 1,031 petugas perubatan maut akibat virus itu sejak pandemik bermula di negara berkenaan pada Mac tahun lalu dengan separuh daripada jumlah tersebut sudah pun menerima suntikan vaksin lengkap.

Daripada jumlah itu, 405 melibatkan doktor perubatan, 328 jururawat, 160 bidan, 43 doktor gigi dan 95 bagi kategori lain-lain.

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata, kerajaan akan memberikan dos tambahan kepada 1.47 juta petugas perubatan menggunakan vaksin keluaran Moderna.

Katanya, dos ketiga itu hanya akan diberikan kepada petugas perubatan memandangkan golongan itu paling berisiko.

Dalam pada itu, kerajaan Thailand juga bersetuju untuk memberikan dos ketiga kepada golongan tersebut selepas 618 petugas perubatan yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac dilaporkan dijangkiti Covid-19.

Daripada 677,348 petugas perubatan yang menerima dua dos vaksin Sinovac, seramai 618 orang dijangkiti Covid-19 dari April hingga bulan ini.

Pegawai kanan kesihatan, Sopan Iamsirithawon berkata, dos ketiga itu mungkin melibatkan pemberian vaksin keluaran AstraZeneca atau yang menggunakan teknologi mRNA.

Selain itu, Israel turut menawarkan dos ketiga vaksin Pfizer kepada golongan dewasa yang mempunyai sistem imun lemah sebagai usaha mengekang penularan jangkitan koronavirus.

AS tidak mahu

Ketika banyak negara berlumba-lumba untuk memberi dos tambahan, Amerika Syarikat (AS) pula mengambil pendekatan berbeza apabila tidak mahu terburu-buru melakukan langkah yang sama.

Pakar penyakit berjangkit AS, Dr. Anthony Fauci berkata, perkara itu tidak perlu dilakukan ketika ini, namun tidak menolak bakal melaksanakannya pada masa akan datang.

“Kita perlukan masa yang banyak untuk pastikan adakah AS benar-benar perlukan dos tambahan. Namun, ketika ini, AS tidak perlukan langkah itu,” katanya. – AGENSI

Tiada ulasan: