Isnin, 26 Julai 2021

Awie pamer bakat baca puisi, Najua P. Ramlee nyanyi lagu Tunggu Sekejap

Oleh Laupa Junus
 
AWIE dengan gaya tersendiri mendeklamasikan puisi Taming Sari Jadi Saksi.

KUALA LUMPUR: Program Malam Getaran Jiwa Tan Sri P. Ramlee yang diadakan malam ini menjadi gelanggang kepada beberapa personaliti industri hiburan memperagakan bakat sama  ada mendeklamasi puisi atau menyampaikan lagu pilihan masing-masing berdasarkan judul lagu ciptaan seniman agung tersebut.

Selain nama-nama besar pengkarya sastera khususnya mereka yang terlibat secara langsung dengan penciptaan dan pembacaan puisi, artis dan selebriti tidak ketinggalan mempamerkan kebolehan mereka meskipun di luar bidang masing -masing.

Penyanyi rock Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie lengkap berpakaian tradisional Melayu siap dengan keris tersisip di pinggang membacakan puisi yang diadaptasi daripada filem Hang Tuah bertajuk Taming Sari Jadi Saksi karya Dr. Zainatul Shuhaida Abdul Rahman.

Beliau turut menyampaikan lagu Madu Tiga dengan gaya tersendiri. Timbalan Presiden Persatuan Pengarah-Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Zulkefli M. Osman pula tampil dengan puisi berdasarkan lagu daripada filem P Ramlee, Hancur Badan Dikandung Tanah manakala cucu Allahyarham  iaitu Najua P. Ramlee menyampaikan lagu Tunggu Sekejap daripada filem Sarjan Hassan.

Awie menyanyikan lagu Madu Tiga

Program tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan FDAM dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Dr. Noor Zari Hamat secara maya bertujuan mengangkat seniman agung tersebut sebagai Pemuisi Legenda berdasarkan kepada judul dan lirik lagu-lagu beliau yang dimuatkan dalam filem lakonan dan arahannya.

Selain personaliti berkenaan,  Noor Zari sendiri menyampaikan puisi bertajuk Legenda Sepanjang Zaman karya Dr. Lim Swee Tin.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dengan puisi karya beliau sendiri Jeritan Batinmu manakala Sasterawan Negara ke-6, Prof. Dr.

Muhammad Hj. Salleh dengan puisi karya beliau sendiri, Kepada Seniman Agung Bangsa Malaysia.

Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan yang juga Penasihat PEMUISI mendeklamasi puisi bertajuk Nila Dan Puspa hasil tulisan anaknya Raihani Mohd. Saaid manakala bekas Naib Canselor Universiti Malaya,  Prof. Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob bertajuk Ingatanku Kepada P. Ramlee.

Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim dengan puisi daripada lirik lagu Getaran Jiwa daripada filem Antara Dua Darjat manakala Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim dengan puisi Berkorban Apa Saja daripada filem Hang Tuah.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Hazami Jahari (Saat Yang Bahagia) daripada filem Masam-masam Manis manakala Exco PEMUISI, Sundarappandian AL Valusamy, dengan puisi Air Mata di Kuala Lumpur.

 

Dua lagi Exco PEMUISI, Marzelan PS dan Zaleena E-naa bergabung suara menyampaikan puisi bertajuk Sabar daripada filem Sabarudin Tukang Kasut.

Timbalan Pengerusi Tetap PEMUISI Ahmad Ramli menyampaikan lagu Merak Kayangan manakala puisi berasaskan lirik lagu Sedangkan Lidah Lagi Tergigit daripada filem Tiga Abdul yang disampaikan oleh Exco PEMUISI Harlym Yeo dan Pengerusi Biro PEMUISI Negeri Selangor, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman. 

Aris Othman dan Maslinah Yusof mewakili DBP dengan puisi Jeritan Batinku daripada filem Ibu Mertuaku.

Penganjur dikatakan akan berusaha menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan.  – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: