Jumaat, 23 Julai 2021

Allah bantu mudahkan urusan saya ke Gaza: Ustaz Ebit Lew

 Siti Hafidah

Sangkal dakwaan sukarkan usaha pihak lain ke Gaza selepas ini

BANGI – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Liew menyangkal dakwaan bahawa beliau menyukarkan usaha pihak lain untuk masuk ke Gaza selepas misi kemanusiaannya baru-baru ini.

Menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah besar, beliau berkata, apa yang terjadi adalah sebaliknya kerana kerjasama dan usaha yang dilakukan antara kerajaan Malaysia dan Mesir, akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak lain yang berhasrat masuk ke Gaza selepas ini.

Bahkan Ustaz Ebit menafikan beliau dan pasukannya membayar syarikat Hala untuk masuk ke Gaza.

“Saya dituduh menggunakan khidmat syarikat bernama Hala, sedangkan saya tak tahu dan tak pernah dengar pun tentang syarikat itu. Kejayaan kami masuk ke Gaza adalah kerana kerjasama baik dan usaha daripada pihak kerajaan dan kedutaan di bawah Datuk Seri Hishammuddin Hussein, serta kerajaan Mesir.

“Saya sendiri tak sangka, memang ia satu keajaiban. Pada mulanya kami mahu guna khidmat Mile of Smiles, kami diminta bayar RM40,000 satu kepala. Jumlah yang tinggi, jadi saya cakap, tak mengapalah, kalau dapat saya seorang masuk pun sudah cukup baik.

“Tetapi selepas diberikan nama untuk urusan masuk, masih gagal dapat kelulusan. Kami tak putus asa, pasukan saya setiap hari tak tidur, solat hajat dan berdoa, saya yakin Allah akan bantu.

“Nak masuk ke Gaza kena ada dua kelulusan, satu daripada kerajaan Mesir dan satu lagi kelulusan tentera. Dan selalunya nak dapat kelulusan kerajaan Mesir itu yang susah. Tetapi macam saya cakap, Allah bantu, memang satu keajaiban, kedutaan hantar dokumen kepada kerajaan Mesir dan ia diluluskan.

“Segala puji bagi Allah, kami kemudiannya dapat bantuan daripada ejen perisikan tentera Mesir untuk ke Gaza. Kami ke sana dengan sebuah agensi, Lucky Tour. Kalau dengan Mile of Smiles kami kena bayar RM40,000, tetapi dengan agensi ini kami bayar RM10,000 sahaja,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Selain itu, Ustaz Ebit juga menafikan dakwaan beliau menggunakan duit rakyat Malaysia untuk memudahkan perjalanannya di sana.

“Saya tak pernah buka tabung untuk Gaza. Saya ke sana dengan duit sendiri, ditambah dengan bantuan sahabat-sahabat baik yang tak mahu nama mereka disebutkan.

“Jadi saya tak rasa ada keperluan untuk saya ceritakan dengan terperinci apa yang saya buat dengan duit itu, kerana itu duit saya,” katanya.

Tiada ulasan: