Sabtu, 10 Julai 2021

85 hektar kebun durian haram di Raub selesai ditebang, tanah akan ditanam pokok Meranti

tebang
KERJA-kerja penebangan kebun durian haram di Raub, Pahang telah melebihi 85 peratus selesai. - Gambar HARIAN METRO

AKTIVITI menebang pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di kawasan Hutan Simpan Batu Talam, Raub, Pahang dijangka siap sepenuhnya minggu depan dengan kini pokok di kawasan lebih 85 hektar telah ditebang.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, sasaran itu bakal dicapai apabila semua jadual bertugas kini berjalan lancar mengikut apa yang dirancang.

Beliau berkata, setakat ini aktiviti penebangan telah dilakukan selama lima hari dan selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera.

“Beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal untuk penanaman semula itu antaranya meranti temak nipis,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Katanya, keseluruhan kawasan yang diceroboh untuk penanaman pokok Musang King adalah seluas lebih 101 hektar.

Nor Azirim berkata, kehadiran lebih ramai penebang terdiri daripada kakitangan JPNP disetiap daerah di negeri ini melancarkan kerja memusnahkan pokok durian.

Menurutnya, hampir 100 kakitangan JPNP yang menyertai Operasi Pamah dan mereka dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan kerja menebang secara berterusan menggunakan mesin gergaji berantai.

Katanya, aktiviti menebang sebenarnya dilakukan hanya dalam masa lima hari sahaja kerana tindakan provokasi selain jambatan yang dirosakkan menyebabkan kerja menebang tergendala.

“Aktiviti menebang mula berjalan lancar pada Selasa lalu terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertanggungjawab mengawal dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam termasuk mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke hutan simpan berkenaan.

“Faktor hujan pada sebelah petang selain angin kencang turut menjejaskan kelancaran aktiviti menebang yang jadual asal mengambil masa sebulan untuk siapkan,” katanya.

Nor Azirim berkata, selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera.

Katanya, beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal untuk penanaman semula itu antaranya meranti temak nipis.

Tiada ulasan: