Selasa, 13 Julai 2021

17 premis diarah tutup; 514 individu dicekup ingkar SOP

Oleh AMREE AHMAD

ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Sejumlah 17 premis diarah tutup oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan di seluruh negara.

  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan itu melaksanakan pemeriksaan ke atas 2,087 kilang selain 16,086 premis perniagaan, 625 tapak pembinaan dan 449 asrama pekerja.

 “Keseluruhannya, mereka berjaya melakukan 78,975 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan jumlah kekuatan seramai 19,477 anggota pelbagai agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Dalam pada itu, Menteri Pertahanan itu berkata, tiada pendatang asing tanpa izin ditahan, namun tiga kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng selain sebanyak 13 bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara melalui 14 aktiviti penglihatan pasukan keselamatan.

 Beliau juga mengesahkan, cuma dua daripada 14 pekerja asing disahkan positif Covid-19 di seluruh negara.

Ismail Sabri turut memberitahu, 514 individu dicekup semalam kerana ingkar SOP dengan 503 daripadanya dikompaun, manakala 11 lagi direman. 

 “Kesalahan tertinggi semalam ialah merentas kawasan dan makan/minum di premis sebanyak 126 kes, diikuti tiada jarak fizikal dengan 104 kes, gagal merekod butiran diri di premis (69), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58), membawa penumpang berlebihan (56) tidak memakai pelitup (55) dan lain-lain (46),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: