Isnin, 12 Julai 2021

10 sambut hari jadi dikompaun RM15,000

Norsyazwani Nasri
Seramai 10 lelaki dikenakan kompaun kerana meraikan sambutan hari jadi di Skim Penempatan Baru Stapok, Jalan Stapok Utama, Kuching, petang tadi. - Foto NSTP/Norsyazwani Nasri
Seramai 10 lelaki dikenakan kompaun kerana meraikan sambutan hari jadi di Skim Penempatan Baru Stapok, Jalan Stapok Utama, Kuching, petang tadi. - Foto NSTP/Norsyazwani Nasri

KUCHING: Seorang lelaki dikenakan kompaun gara-gara menjemput rakan meraikan hari jadi saudaranya di kediamannya di Skim Penempatan Baru Stapok, Jalan Stapok Utama, di sini, petang tadi.

Semua 10 lelaki berusia antara 24 hingga 53 tahun itu dikenakan kompaun berjumlah RM1,500 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dibantu pasukan Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kota Sentosa membuat pemeriksaan di hadapan rumah itu kira-kira jam 6.30 petang.

"Pemeriksaan mendapati, semua lelaki berkenaan sedang berkumpul dan duduk di bawah tempat letak kereta sambil makan dan minum tanpa mengamalkan penjarakan sosial.

"Pemilik rumah mengaku mengadakan sambutan hari jadi saudaranya ketika pemeriksaan dilakukan, sebelum kompaun dikeluarkan anggota polis ke atas mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesalahan itu mengikut Peraturan 17(1) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan

(LLDKTJ) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

"Semua mereka bersetuju menerima tawaran kompaun yang dikenakan atas kesalahan dilakukan dan kompaun perlu dibayar dalam tempoh 14 hari," katanya.

Tiada ulasan: